Dana RM50 juta ditawarkan kepada B40 miliki rumah Selangorku - Utusan Malaysia

Dana RM50 juta ditawarkan kepada B40 miliki rumah Selangorku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor memperuntukkan dana sebanyak RM50 juta tahun ini menerusi pembiayaan Skim Smart Sewa bagi membolehkan golongan B40 memiliki Rumah Selangorku. 

Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Mohamed Talha berkata, peruntukkan dana itu berikutan penolakan tawaran Rumah Selangorku bagi pemohon yang tidak memenuhi syarat pinjaman pembiayaan oleh institusi kewangan.

Katanya, setakat Mac tahun ini sebanyak 49,698 tawaran bagi Rumah Selangorku telah diluluskan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) . 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun, didapati 17,514 iaitu 35 peratus pemohon Rumah Selangorku berdepan masalah pembiayaan pinjaman perumahan daripada institusi kewangan. 

“Ini berikutan pinjaman tidak memenuhi syarat seperti komitmen pemohon yang tinggi, tiada wang pendahuluan malah telah disenarai hitam oleh pihak bank kerana terdapat tunggakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan kad kredit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Haniza memberitahu, sehingga kini sebanyak 341 unit rumah telah disewakan dengan kadar sewaan bermula daripada RM450 sebulan sehingga RM700 sebulan. 

Ujar beliau, sebanyak 101 unit telah disiapkan pada awal tahun ini dan bakal disewakan dalam masa terdekat manakala sebanyak 541 unit dijangka dapat disiapkan pada pertengahan tahun ini hingga awal tahun depan. 

“Tempoh sewaan minima bagi setiap penyewa adalah selama dua tahun dan maksima selama lima tahun.

“Penyewa akan mendapat pulangan semula 30 peratus daripada jumlah sewaan bersih yang dibayar apabila mereka tidak lagi tinggal di unit berkenaan dalam tempoh dua hingga lima tahun,” katanya. 

Mengulas lanjut, Haniza menegaskan kerajaan negeri dengan LPHS akan terus memantau dan mengkaji Dasar Rumah Selangorku dan harga jualan Rumah Selangorku dari masa ke masa berdasarkan keadaan ekonomi semasa. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini