Kata Pakar Ortopedik dan Tulang Belakang, Hospital Columbia Asia Cheras, Dr. Chan Chee Keong, saraf median melalui terowong ini memberikan deria rasa atau sentuhan pada tapak tangan, ibu jari, jari telunjuk, jari tengah dan sebahagian jari manis.

Selain itu, saraf median juga merangsangkan otot tangan untuk menjepit atau mencubit sesuatu di antara ibu jari dan hujung jari-jari lain di samping terdapat sembilan urat tendon dalam terowong tersebut yang membolehkan jari dibengkok.
“Disebabkan tekanan terhadap saraf median kita akan rasa kebas dan jari-jari menjadi lemah terutama pada tapak tangan dan tiga jari iaitu ibu jari, jari telunjuk, jari tengah dan separuh jari manis. Lazimnya berlaku pada waktu malam,’’ katanya.
Menurut beliau simptom-simptom itu biasanya muncul perlahan-lahan selama beberapa minggu sehingga beberapa bulan namun sering tidak dihiraukan pesakit mengakibatkan keadaan menjadi kronik apabila otot pada pangkal ibu jari (otot thenar) mengecut dan kekuatan ibu jari juga merosot sehinggakan barang yang dipegang pesakit akan jatuh.
Dr. Chee Keong berkata, antara sebab saraf median tertekan ialah kecederaan yang berhampiran kawasan terowong contohnya tulang patah atau luka menyebabkan bahagian sekitarnya bengkak.
“Yang kerap berlaku ialah pergerakan tangan dan pergelangan tangan yang berulang kali dengan cara yang sama contohnya menulis, menggunakan tetikus komputer, menaip, (dikategorikan sebagai bahaya pekerjaan) memegang telefon malah termasuk mereka yang gemar bermain permainan video,’’ katanya.
CTS boleh berlaku kepada semua individu tanpa mengira jantina namun kerap berlaku kepada wanita berbanding lelaki yang berusia antara 40 tahun sehingga 50 tahun. Lazimnya , doktor akan menjalankan tiga ujian terhadap individu terbabit iaitu isyarat tinel, gerakan phalen dan ujian reverse phalen (ujian klinikal) dan hanya selepas ketiga-tiga ujian itu positif maka individu itu baru disahkan menghidap CTS.
“Kadang-kadang ada pesakit mahu ujian secara objektif dilakukan. Maka pakar perubatan saraf akan menjalankan ujian conduction nerve bagi menguji kelajuan aliran elektrik melalui saraf median pesakit ini,’’ katanya.
Kaedah rawatan pula menurut beliau, dilakukan secara berperingkat iaitu peringkat permulaan melibatkan gejala CTS berlaku dalam tempoh seminggu dengan pesakit diminta memakai pengampu atau splint bagi memastikan pergelangan tangan lurus terutama pada waktu malam untuk mengelak simptom merebak.
Namun jika rawatan peringkat awal tidak berjaya maka pesakit diminta untuk menjalani rawatan fisioterapi iaitu kaedah rawatan panas, getaran, regangan ringkas dan senaman untuk mengekalkan kesihatan otot yang lazimnya dijalankan dalam tempoh enam minggu sehingga tiga bulan bagi membantu pergerakan tendon dan urat saraf serta meningkatkan aliran darah.
Kata Dr. Chee Keong, jika kedua-dua rawatan itu tidak berjaya maka pesakit disarankan untuk melakukan pembedahan tetapi ramai pesakit yang takut untuk melakukan pembedahan maka doktor akan mencadangkan agar mereka diberi suntikan steroid.
“Suntikan steroid bertujuan mengurangkan bengkak dalam terowong dan hanya akan bertahan selama tiga bulan atau kurang daripada itu. Akhirnya pesakit terpaksa menjalani pembedahan dan ini dilakukan jika keadaan semakin serius dan kronik selepas muncul tanda-tanda otot tangan lemah,’’ katanya.











