MANCHESTER 4 April – Pep Guardiola resah kerana terpaksa membayar harga mahal biarpun mereka berjaya kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Cardiff City 2-0 di laman sendiri, hari ini.
Keresahan pengendali dari Sepanyol itu disebabkan bilangan pemain utamanya yang cedera terus bertambah dengan terbaharu membabitkan tonggak bek kirinya, Oleksandr Zinchenko.
Ini bermakna, City akan turun tanpa pemain pertahanan yang cergas sewaktu menentang Brighton pada separuh akhir Piala FA di Wembley, Sabtu ini.
Zinchenko mengalami masalah hamstring hanya selepas 18 minit beraksi, sekaligus terpaksa diketepikan untuk beberapa perlawanan. Fabian Delph dan Benjamin Mendy juga masih belum cergas.
“Ini petanda tidak baik. Kami hanya akan tahu masalah sebenar, esok, tetapi hakikatnya ia tidak bagus. Delph sudah pasti diketepikan. Mendy pula belum dapat dibuktikan kecergasannya dan kita akan lihat bagaimana keadaan terkini, esok,” kata Guardiola.
Turut berada dalam senarai kecederaan, Sergio Aguero yang belum pasti beraksi menentang Brighton dan tambah memeningkan Guardiola, dia juga perlu memikirkan barisan pemain menjelang suku akhir pertama Liga Juara Juara dengan Tottenham Hotspur di laman lawan, minggu depan.
City kini kembali menguasai takhta liga setelah memiliki kelebihan satu mata di depan, Liverpool. Sementara itu, dalam dua lagi perlawanan, Chelsea dan Tottenham melakar kemenangan ke atas Brighton (3-0) serta Crystal Palace (2-0). – AFP











