Cari Acap perlu tepati syariat - Utusan Malaysia

Cari Acap perlu tepati syariat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOPENG 9 April – Pencarian peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Asyraf Hassan, 29, yang hilang sejak 23 Mac lalu, perlu dilakukan dengan doa, solat hajat serta memohon kepada Ilahi dan bukannya secara tidak menepati syariat Allah.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, melalui cara tersebut, ia diyakini mempu­nyai jalan penyelesaian daripada Allah.

“Oleh itu, saya memberi i­ngatan pada diri saya yang daif ini dan sahabat-sahabat supaya apabila kita berbuat sesuatu, biarlah menepati syariat Islam yang sebenarnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Seperkara lagi, saya juga mengharapkan kita sama-sama bersatu hati mencari Mohammad Asyraf yang saya yakin akan ada satu titik pengakhiran iaitu dengan penemuan. Kita doakan dia dalam keadaan selamat dan mudah-mudahan ia akan berakhir secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meluangkan masa selama kira-kira setengah jam di pos kawalan bomba di Kampung Pintu Padang, di sini hari ini.

Dalam lawatan tersebut, Zul­kifli turut mendengar taklimat yang disampaikan oleh Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohd. Yunus Abu dan Ketua Cawangan Pe­ngurusan Operasi dan Balai JBPM negeri, Sabarodzi Nor Ahmad.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, ketika berada dalam situasi pencarian ini, sebagai orang Islam, ada baiknya untuk bersabar menunggu selain memohon kepada Allah.

“Bila kamu minta, minta tolonglah dengan Allah. Kita ya­kin dan percaya Allahlah segala-galanya.

“Kita berdoa pada Allah supaya Allah mengembalikan (Mohammad Asyraf) kalau berada pada alam yang lain tetapi kalau berada pada alam kita, dijumpai semula insya-Allah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini