KUALA LUMPUR 26 April – Perebutan kejuaraan bagi musim kedua Cabaran Toyota Vios di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hujung minggu ini, dijangka sengit dengan setiap pelumba mengimpikan kedudukan podium untuk membuktikan kejaguhan.
Tiga venue iaitu Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) dan Stadium Batu Kawan di Pulau Pinang menjadi pentas buat setiap pelumba mengutip mata sebelum memasuki aksi terakhir, esok, dengan kejuaraan bakal ditentukan menerusi pertarungan tiga penjuru bagi kelas Promotional, Sporting dan Super Sporting.
Saingan menampilkan konsep perlumbaan jalanan turut memberi pengalaman baharu kepada pelumba yang menuntut mereka lebih berhati-hati supaya tidak melanggar tembok keselamatan disediakan di sepanjang litar.
Berita berkaitan:
Bagaimanapun, konsep itu tidak akan diteruskan dalam pusingan akhir dan setiap pelumba dalam Cabaran Toyota Vios akan menampilkan kualiti pemanduan terbaik bagi merebut kejuaraan keseluruhan di atas litar perlumbaan sebenar.
“Konsep perlumbaan satu model di atas litar yang dibina khusus di kawasan strategik di seluruh negara sentiasa menjanjikan cabaran serta ganjaran buat pelumba. Ganjaran dimaksudkan ialah ini adalah satu-satunya siri perlumbaan jalanan di Malaysia dan Asia Tenggara yang menawarkan pelumba dimensi serba baharu.
“Bagi Toyota, litar jalanan ini berjaya memenuhi dua objektif utama iaitu menyediakan siri perlumbaan menarik dan mencabar untuk disertai. Kedua, membawa perlumbaan itu kepada semua kerana ia bukan sahaja menampilkan bakat pelumba serta keupayaan produk kami di atas litar tetapi membuka minat orang ramai,” kata Presiden UMW Toyota Motor Sdn. Bhd., K. Ravindran, hari ini.
Dalam kelas Promotional, pelakon terkenal tanah air, Diana Danielle berada di kedudukan terbaik meraih kejuaraan setelah mengumpul 79 mata, manakala, penyanyi Akim Ahmad dan pelawak, Nabil Ahmad berkongsi kedudukan kedua dengan 72 mata.
Bagi kelas Sporting, perebutan kejuaraan melibatkan empat pelumba iaitu Patrick Tam (Nanoplus), Eric Yong (ST Wangan Racing Team), Kenneth Koh (Panglima City Racing Team) dan Brendon Lim (Tedco Racing).
Perlumbaan profesional dalam kelas Super Sporting dijangka lebih sengit dengan Brendan Paul Anthony dari pasukan Dream Chaser berusaha mempertahankan gelaran, sementara William Ho dari Kaegani Racing yang merupakan naib juara tahun lalu sekali lagi menjadi pencabarnya.











