SUNGAI PETANI 24 April – Kesedaran seorang bapa terhadap kewangan anaknya pada masa depan mendorongnya membuka akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) kepada anak perempuannya yang baru berusia dua tahun.
Muhammad Syuhaiemie Mat Noh, 27, berkata, akaun tersebut dibuka untuk anaknya, Ayra Damia bagi membolehkan dia menyimpan dalam bentuk pelaburan secara berkala pada setiap bulan.
“Saya sudah menetapkan amaun tertentu untuk dicarum ke dalam akaun anak pada setiap bulan, tetapi sekiranya ada lebihan wang lain saya akan tetap masukkan juga.
“Sebelum ini saya memang sudah merancang untuk membuka akaun itu tetapi apabila dapat tahu ada sambutan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2019 di sini, saya ambil peluang itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambah Muhammad Syuhaiemie, dia memilih untuk membuka akaun ASNB kepada anaknya selepas membuat penilaian terperinci berkaitan faedah, risiko dan pulangan dividen yang konsisten.
Kata kakitangan kerajaan itu, dia akan melakukan perkara sama sekiranya dikurniakan cahaya mata lain selepas ini bagi memastikan masa depan anak-anaknya terjamin.
Sementara itu, seorang pekerja hotel, Muhammad Nuraffandy Muzaffa, 24, berkata, kesukaran hidup di ibu kota membuatkan dia nekad untuk membuka akaun ASNB kepada tiga anaknya termasuk dua daripada mereka yang merupakan anak tirinya.
“Saya memilih ASNB untuk anak-anak kerana yakin dengan keupayaan syarikat pelaburan itu, malah pengalaman bekerja di bahagian pemasaran sebelum ini menambah ilmu pengetahuan berkaitan kewangan,” katanya.
Tambahnya, dia juga sudah mula menerapkan amalan menabung terhadap dua anaknya yang berusia sembilan dan lima tahun untuk memastikan mereka menguruskan wang dengan bijak.
MSAM 2019 yang bermula sejak 19 April hingga esok merupakan edisi ke-20 dianjurkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang menawarkan pelbagai hadiah kepada pengunjung termasuk melalui peraduan-peraduan yang dijalankan. – UTUSAN ONLINE










