Bot terbalik di Pekan: Mayat terakhir ditemukan - Utusan Malaysia

Bot terbalik di Pekan: Mayat terakhir ditemukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 3 April – Mayat kedua dan terakhir mangsa kejadian bot fiber terbalik di Sungai Pahang berhampiran Pulau Awang Mandur di Pekan, dekat sini kelmarin ditemukan hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, mayat Ng Boon Hoon, 33, ditemukan pada pukul 9.20 pagi.

“Mayat lelaki tersebut dijumpai oleh kru bot bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat empat kilometer dari lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang kelmarin, Boon Hoon dan seorang lagi mangsa, Chan Hoke Kei, 49, bersama dua rakan mereka serta seorang tekong bot membuat rondaan di sekeliling Pulau Awang Mandur sebelum bot itu terbalik.

Difahamkan, rondaan berkenaan bagi tujuan merakam gambar sekitar pulau tersebut yang menjalankan aktiviti mengepam pasir.

Semasa bot sedang bergerak, penumpang di dalam bot tersebut dikatakan berada di kedudukan yang tidak seimbang kerana dua orang berdiri merakam gambar mengakibatkannya terbalik.

Mereka yang terselamat ialah Sow Ke Cheong, 44, dan Fan Kek Heung, 41, serta tekong bot dikenali Suprianto, 24, yang merupakan warga Indonesia.

Mereka diselamatkan seorang penduduk kampung yang kebetulan memancing di tebing sungai dengan menggunakan bot miliknya.

Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamatkan digerakkan melibatkan pelbagai pihak termasuk bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam.

Mayat Hoke Kei yang merupakan seorang peniaga dari Kuala Lumpur pertama ditemukan pada pukul 12.25 tengah hari semalam tersangkut pada jaring oleh penduduk kampung kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini