KEBANYAKAN wartawan dari luar Negeri Sembilan yang membuat liputan Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau ketika ini mungkin menyedari sesuatu tentang sikap Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat.
Walaupun diasak dengan soalan ‘maut’ wartawan tentang tuduhan-tuduhan terhadapnya, beliau tetap tenang memberikan jawapan. Soalan dijawab dengan berhemah, teratur walaupun sesekali sinikal.
Jarang benar beliau menghamburkan rasa marah atau mengutuk lawannya. Bagi petugas media di negeri ini, mereka kenal sangat sikap Tok Mat yang tidak suka menghentam peribadi orang lain sejak dulu lagi.
Tok Mat sebelum ini menyatakan beliau mahu semua pihak berkempen secara sederhana di Rantau. Tidak perlu agresif sehingga membakar sentimen kaum. Walaupun diserang setiap hari, beliau enggan terikut-ikut rentak dan tarian lawannya.
Katanya, ketegangan antara penyokong dan parti hanya akan memudaratkan Rantau yang juga kampung halaman dan tempat beliau dilahir dan dibesarkan.
Malah, ketika mengulas kemungkinan jajaran projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) melalui negeri ini, beliau melihatnya dari aspek positif – walaupun ia dicadangkan kerajaan Pakatan Harapan.
Baru-baru ini, Tok Mat turut memberikan cadangan untuk kerajaan mengatasi masalah industri kelapa sawit negara ketika ini. Yang pasti, minum minyak sawit sesudu sehari bukan salah satu yang dicadangkannya.











