PELUMBA tidak ternama daripada pasukan Neri Sottoli Selle Italia KTM, Simone Bevilacqua dari Itali mencipta kejutan apabila dengan mengungguli kejuaraan peringkat ketujuh perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 semalam.
Perlumbaan yang bermula dan berakhir di Pantai Cenang, Langkawi sejauh 106.8 kilometer (km) itu menyaksikan pelumba berusia 22 tahun tersebut muncul sebagai juara dalam kelompok besar menerusi catatan masa 2 jam 17 minit 59 saat (s).
Ia adalah podium pertama yang dirangkul oleh Bevilacqua sejak menjadi pelumba profesional lebuh raya pada tahun 2016.
“Saya sangat gembira kerana meraih kemenangan tanpa disangka-sangka. Boleh dikatakan ini merupakan kemenangan nasib kerana kami langsung tidak menjangka boleh menang terutamanya berada di kedudukan podium.
“Kira-kira 1km sebelum menuju ke garisan penamat, saya hanya mengikuti satu kelompok pelumba daripada pasukan Bardiani CSF. Mereka membuka laluan kepada saya kerana basikal pakar pecutnya, Andrea Guardini mengalami masalah teknikal.
“Kesempatan itu digunakan sebaik mungkin untuk melakukan pecutan hingga ke garisan penamat. Ini adalah kejayaan terbesar saya walaupun saya meninggalkan rumah di Itali dengan sedikit kecederaan pada kaki,” ujarnya.
Perlumbaan terakhir hari ini akan berlangsung di Dataran Lang hingga Kuah, Langkawi sejauh 103.8km.
Dijangkakan perlumbaan itu akan menjadi sasaran terakhir Guardini untuk merangkul kejuaraan pertamanya pada LTdL 2019 sekali gus memperbaharui rekod dengan 25 kejuaraan peringkat sejak 2011.
Dalam pada itu, tiada perubahan yang berlaku pada perlumbaan semalam yang memperlihatkan Benjamin Dyball daripada Team Sapura Cycling masih kekal selaku pendahulu keseluruhan (jersi kuning) diikuti pelumba Floyd’s Pro Cycling, Travis McCabe (jersi hijau) serta Angus Lyons daripada Oliver’s Real Food Racing (jersi merah).











