KUALA LUMPUR 2 April – Belian berterusan ke atas saham wajaran tinggi terpilih, yang didorong oleh data yang menunjukkan pemulihan dalam sektor perkilangan China, mengangkat Bursa Malaysia pada penutupan Selasa.
Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup pada 1,632.83, meningkat 4.17 mata berbanding 1,628.66 pada penutupan semalam.
Indeks dibuka 5.17 mata lebih tinggi pada 1,633.83 dan bergerak antara 1,630.98 dan 1,639.32 sepanjang hari.
Kedudukan pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 433 berbanding 363, manakala 444 kaunter tidak berubah, 616 tidak diniagakan dan 29 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.76 bilion unit bernilai RM1.97 bilion berbanding 2.63 bilion unit bernilai RM1.97 bilion.
Seorang peniaga berkata bursa tempatan melantun daripada kerugian semalam berikutan data menggalakkan yang menunjukkan aktiviti pembuatan China telah kembali mencatat pertumbuhan selepas penguncupan selama tiga bulan.
“Malah, indeks pengurus pembelian di seluruh Asia memperlihatkan angka yang lebih baik. Ini, ditambah dengan aliran meningkat di pasaran saham AS dan harga minyak mentah yang lebih tinggi, juga mempengaruhi pasaran (saham),” katanya. -BERNAMA











