KOTA KINABALU 30 April – Majlis Belia Sabah (MBS) mahu penurunan umur takrifan belia tidak dibuat secara tergesa-gesa sebaliknya perlu dilakukan secara berperingkat iaitu daripada 40 ke 35 tahun terlebih dahulu, kata Presidennya Ahmad Farid Sainuri.
Beliau berkata transisi penurunan umur takrifan belia itu perlu ada kajian menyeluruh termasuk kesediaan kepimpinan gerakan belia menyediakan pemimpin pelapis muda selain implikasi pembangunan sosial kepada kumpulan umur 30 hingga 40 tahun.
“MBS menyambut baik cadangan meletakkan kumpulan umur 31 hingga 40 tahun bertindak sebagai mentor belia. Bagaimanapun, perlu ada klausa khas dalam Dasar Belia Negara yang dengan jelas mengiktiraf kumpulan umur itu supaya peranannya signifikan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata usul menurunkan umur takrifan belia kepada maksimum 30 tahun berbanding 40 tahun ketika ini akan dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang sebagai antara langkah penambahbaikkan yang dilaksanakan kementeriannya berkaitan belia.
Ahmad Farid berkata usaha menurunkan takrifan umur itu adalah selaras dengan Dasar Belia Sabah, bagaimanapun, mereka berumur 31 hingga 40 tahun masih kekal diiktiraf sebagai kumpulan sasar dalam dasar itu yang perlu dibangunkan secara holistik.
Menurutnya, MBS juga melihat inisiatif terbabit sebagai usaha progresif selaras dengan peremejaan umur belia seluruh dunia.
“Kita tidak mahu anak muda Malaysia tertinggal jauh di peringkat antarabangsa, namun, menteri perlu prihatin dengan latar pendidikan, ekonomi dan sosiopolitik berbeza di seluruh negara terutama anak muda di Sabah dan Sarawak,” katanya. – BERNAMA











