PRAGUE 30 April – Bekas pemain bola sepak Republik Czech, Tomas Repka yang pernah beraksi bersama Fiorentina dan West Ham, dihukum penjara selama dua tahun kerana terbabit dalam kes penipuan.
Mahkamah Rayuan menambah hukuman daripada sembilan bulan kepada 15 bulan yang pada awalnya dikenakan ke atas Repka, 45, Februari lalu kerana menjual kereta Mercedes Benz yang dipajaknya.
Presiden Mahkamah, Petr Benes berkata, dia tiada alasan mengapa bekas bintang bola sepak itu tidak perlu dihukum kurang daripada dua tahun penjara di atas jenayah yang dilakukannya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman tersebut tanpa kehadiran Repka dan peguamnya, Jaroslav Jankrle berkata, lelaki itu sangat optimis berhubung keputusan yang akan dijatuhi,
Repka menjual kereta tersebut pada Disember 2016 dengan harga 1.2 juta koruna (RM215,424).
Tahun lalu, dia dihukum penjara selama enam bulan kerana menerbitkan iklan gadis pengiring palsu berserta dengan gambar dan nombor telefon bekas isterinya. Hukuman itu kemudiannya dipinda kepada menjalankan kerja-kerja yang membabitkan kepentingan awam.
Pada 2015 dan 2016, Repka didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk, tetapi hukumannya ditangguhkan dan dia hanya melakukan kerja-kerja awam akibat gagal membayar nafkah kepada bekas isterinya.
Bekas pemain pertahanan itu memiliki 46 caps bersama skuad kebangsaan Republik Czech pada 1993 hingga 2001 dan dia pernah dilayangkan 18 kad merah sepanjang kariernya setiap kali gagal mengawal kemarahan ketika berada di dalam padang. – AFP











