KUANTAN – Bayi berusia sembilan bulan meninggal dunia selepas kereta dinaiki bersama keluarganya terbabas di Jalan Kuantan-Segamat dekat sini kira-kira pukul 6 pagi tadi.
Kejadian berhampiran simpang Felda Lepar Hilir itu mengorbankan Nurul Afiqah Umaira Muhammed yang dikatakan tercampak keluar daripada kenderaan.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Anuar Hassan berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk bedah siasat.
Menurut beliau, kereta jenis Proton Saga Aeroback dinaiki keluarga itu dikatakan terbabas dan melanggar penghadang jalan yang sedang dalam proses pembinaan.
Tambah beliau, kenderaan tersebut kemudian terbalik sejurus terbabas sehingga mengakibatkan bayi berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, kakaknya, Nurul Atiqah Umaira, 4, bersama ibunya, Rosilawati Ismail, 28, serta bapanya, Muhammed Hafiq, 30-an, mengalami cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk dirawat. – K! ONLINE











