BA100 akan bermula Mei ini - Utusan Malaysia

BA100 akan bermula Mei ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Sebanyak 300 koperasi peruncitan sekitar Lembah Klang akan mula menggunakan sistem khas yang diba­ngunkan oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa), di bawah program Barang Asas 100 (BA100) untuk fasa pertama.

BA100 merupakan satu program yang menawarkan produk barangan asas seperti minyak masak dan gula pada harga antara 10 hingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran bagi membantu meringankan beban pengguna.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, sistem khas yang dibangunkan bersama sebuah syarikat bumiputera itu dikenali sebagai Barang Asas Retail Platform (BARP) yang akan mula beroperasi seawal Mei ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, sistem tersebut dibangunkan untuk membantu koperasi peruncitan mendapatkan bekalan barangan asas te­rus daripada pengilang.

“Sistem BARP ini akan bertindak sebagai jalan pintas kepada orang tengah kerana kami membeli secara pukal daripada pengilang atau pembekal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas me­rasmikan Seminar Ke­pimpinan dan Perniagaan Anggota Lembaga Koperasi Selangor di sini semalam.

Mengulas lanjut, Abdul Fattah berkata, sehingga kini terdapat kira-kira 3,500 koperasi peruncitan di bawah Angkasa dan sistem ini akan diteruskan mengikut fasa-fasa seperti yang telah dirancangkan sebelum ini.

“Selepas fasa pertama yang akan dilancarkan Mei ini, kami jangkakan dalam bulan September ini sebanyak 300 lagi koperasi peruncitan boleh menggunakan sistem ini.

“Sasaran kami ialah semua koperasi peruncitan menggunakan sistem ini bagi menjana pulangan yang lebih tinggi berban­ding sistem konvensional sebelum ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini