KUALA LUMPUR 30 April – Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) mencadangkan audit keselamatan tahunan diwajibkan untuk semua kolej kediaman di universiti awam dan swasta yang berusia lebih 10 tahun.
Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pihak pengurusan universiti juga perlu melaksanakan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang efisien bagi mencegah kemalangan, kejadian berbahaya dan penyakit.
Beliau berkata, audit keselamatan secara berkala serta budaya penyelenggaraan amat penting bagi memastikan aspek keselamatan terjamin sepanjang masa.
“Kita tidak tahu tahap keselamatan di kolej-kolej kediaman seluruh negara kerana tiada kajian menyeluruh dibuat. Mungkin perlu dilaksanakan audit keselamatan di semua kolej kediaman ini agar dapat dinilai tahap keselamatan dan segala kelemahan dapat diperbaiki,” katanya ketika berucap di Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Kolej Kediaman Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.
Yang turut hadir pada majlis ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS Prof. Dr. Ismail Ali dan Pengarah Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UMS, Prof. Dr. Khamisah Awang Lukman.
Lam Thye menambah, beberapa kajian yang dijalankan di kolej-kolej kediaman sebelum ini menunjukkan pelbagai kelemahan wujud termasuk ketiadaan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP), pintu rintangan api serta alat pemadam api tidak mencukupi manakala tempat berkumpul serta papan tanda arah keluar juga tidak kelihatan.
“Ada juga kolej kediaman yang langsung tidak melaksanakan latihan kebakaran manakala tahap kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan masih rendah dalam kalangan penghuni yang terdiri daripada para mahasiswa,” katanya.
Lam Thye memberitahu, kajian audit yang diterbitkan di dalam Jurnal Kesihatan Komuniti 2011 menunjukkan kepentingan melaksanakan audit kesihatan dan keselamatan pekerjaan bagi memastikan pihak pengurusan melaksanakan segala peraturan berkaitan dan standard yang ditetapkan.
Katanya lagi, adalah penting untuk pihak universiti dan kolej kediaman mereka melaksanakan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang baik bagi memastikan aspek keselamatan dan kesihatan di premis masing-masing berada dalam keadaan baik berdasarkan standard yang tinggi.
“Memandangkan keselamatan dan kesihatan pekerjaan adalah perkara wajib berdasarkan tuntutan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994, NIOSH mahu melihat budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang baik ini disemai bermula dari alam persekolahan sehingga ke peringkat universiti,” katanya. -UTUSAN ONLINE











