Atlet taekwando diperintah minta maaf, bayar ganti rugi - Utusan Malaysia

Atlet taekwando diperintah minta maaf, bayar ganti rugi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 April – Atlet taekwando kebangsaan, Nur Dhia Liyana Shaharuddin diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini untuk membuat permohonan maaf terhadap seorang warga emas kurang upaya berhubung dakwaan diserang dan ditendang oleh atlet wanita itu di sebuah stesen LRT Putra Haights, di sini dua tahun lalu.


Permohonan maaf itu adalah berhubung saman yang dikemukakan bekas pegawai keselamatan, Placid P. Rodriguez, 71, yang separa buta dan separa pekak terhadap Nur Dhia Liyana, 25, yang dinamakan sebagai defendan.


Memuatkan artikel berkaitan…

Hakim Lalilatul Zuraida Harron@Harun memutuskan demikian dalam kamar hakim di sini selepas membenarkan saman yang Rodriguez selaku pihak plaintif pada 6 Disember 2017.


Mahkamah turut memerintahkan defendan membuat permohonan maaf secara bertulis dan perlu disiarkan di media cetak tempatan dalam tempoh sebulan bermula hari ini.

Peguam, Datuk Dr. S. Arunan ketika ditemui pemberita berkata, mahkamah turut memerintahkan defendan membayar ganti rugi sebanyak RM1,088 iaitu ganti rugi am RM1,000 dan ganti rugi khas sebanyak RM88.

“Malah, pihak defendan juga perlu membayar RM1,000 untuk kos. Saman ini difailkan bukanlah untuk menuntut wang semata-mata tetapi lebih kepada menuntut keadilan dan apa yang lebih penting, defendan perlu memohon maaf kepada anak guam saya,” katanya.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa pada 6 Julai 2017, ketika dia pulang dari kerja dengan menaiki LRT menuju ke Putra Heights dan setibanya di stesen tersebut, dia terlebih dahulu membenarkan penumpang lain untuk turun daripada LRT tersebut.

Ketika berjalan di platform itu, plaintif yang memakai alat bantuan pendengaran mendakwa telah ditolak, dimarahi, diserang, serang sentuh di kaki kiri dan kanannya selain dilemparkan kata-kata dan jeritan yang memalukan di khalayak ramai oleh defendan.

Akibat perbuatan defendan, plaintif mengalami kesakitan dan turut mengalami tekanan mental dan emosi serta trauma untuk keluar bersendirian kerana takut kejadian sama berulang.

Pada 8 Ogos tahun lalu, Nur Dhia Liyana dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya di sini atas pertuduhan mencederakan Rodriguez selepas representasi bagi menggugurkan pertuduhan diterima. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini