KUALA LUMPUR 26 April – Anugerah tertinggi Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) 2018 Malaysia Press Institute (MPI)-Petronas, Anugerah Kajai milik siapa?
Debaran semakin terasa dan semua agensi media kini menantikan pengumuman keputusan yang akan dibuat malam ini dengan hadiah-hadiah akan disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.
Kumpulan Utusan memperlihatkan tujuh kakitangannya layak ke pusingan akhir bagi enam kategori utama.
Pengumuman keputusan para pemenang pula akan diadakan pada malam ini yang dinamakan Malam Wartawan Malaysia 2019 di Hotel Berjaya Times Square, di sini.
Mereka yang layak ke peringkat akhir terdiri daripada Pengarang Rencana, Zulkifli Jalil bagi kategori Penulisan Kolum/Rencana Pengarang; Penolong Pengarang Berita (Laporan Khas) Mohammad Yasir Jaafar (Laporan Berita Cemerlang) dan wartawan, Ku Muhamad Syafiq Ku Mohd. Fozi melalui kategori Hadiah Wartawan Muda A.Samad Ismail.
Turut disenarai pendek ialah kartunis, Norkamaro Mohd. Noor bagi kategori Kartun Editorial Terbaik dan jurufoto Muhammad Shiddieqiin Zon bagi kategori Foto Esei Cemerlang.
Bagi akhbar Kosmo! yang merupakan akhbar milik Kumpulan Utusan, penyertaan dua wartawannya iaitu Ahmad Mustakim Zulkifli dan Luqman Ridhwan Mohamed Nor turut berjaya ke pusingan akhir bagi kategori Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang.
HKM 2018 MPI-Petronas menyaksikan karya penyertaan tertinggi bagi 20 kategori yang dipertandingkan.
Senarai pusingan akhir penjurian telah pun disahkan oleh Ketua Panel Hakim HKM 2018 MPI-Petronas, Datuk Yong Soo Heong. dan keputusan hakim adalah muktamad. -UTUSAN ONLINE











