SAYA agak keliru sepanjang hujung minggu lalu hingga ke artikel ini ditulis berikutan pendedahan demi pendedahan yang tersebar dalam beberapa grup WhatsApp saya. Ini kerana isu yang dibangkitkan sangat jarang disebut sebelum ini dan saya berasa terpanggil untuk membantu menyelesaikan atas kapasiti sebagai pengamal media yang cuba mendapatkan berita sebenar dan kemudian membantu mencari jalan penyelesaian terbaik.
Sejak minggu lepas saya telah mendapat beberapa paparan dalam grup WhatsApp tentang seorang peguam yang dikatakan cuba membela adiknya yang kini didapati bersalah dan menanti hukuman gantung.

Namun isunya bukan berkaitan dengan adiknya atau hukuman gantung yang dihadapi tetapi lebih kepada keberanian peguam Suzana Norlihan Alias mendedahkan kepincangan pihak penjara yang menurut beliau telah banyak tersasar dan terlibat dalam kegiatan salah.
Saya bukan mahu membela sesiapa jauh sekali cuba memburukkan atau membuat tuduhan melulu. Namun seperti semua rakyat Malaysia kita semua berhak mendapat penjelasan dan pendedahan tentang apa sebenarnya yang berlaku terutama daripada pihak penjara.
Menurut Suzana Norlihan beliau membuat kenyataan bahawa terdapat warden dan kakitangan penjara yang didakwa bersikap kejam dengan menghukum banduan secara melulu selain terlibat dalam kegiatan seperti menjual benda salah di dalam penjara, meminta duit dari ahli keluarga. Malah lebih menakutkan ada pula yang mendakwa ada banduan mati ketika dalam tahanan tanpa sebarang sebab kukuh.
Paling terkesan apabila beliau mendakwa pengedaran dadah juga berlaku di dalam penjara dan ada banduan yang dikatakan dipaksa sebagai ejen untuk menjual dadah kepada banduan. Yang menjadi isu adalah benarkah semua pertuduhan yang dilakukan oleh Suzana Norlihan itu. Saya juga seperti semua pihak lain berharap agar perkara itu tidak benar.
Pertuduhan
Saya tidak mempunyai kepentingan dalam hal ini dan jauh sekali mahu membela adik Suzana Norlihan kerana ia di luar bidang kuasa dan saya tidak mengenali pun mereka. Namun saya rasa terpanggil apabila dalam grup WhatsApp mula bercakap tentang perkara itu dan ada kawan-kawan mula berkongsi apa berlaku terhadap kawan atau saudara mara yang pernah dipenjarakan.
Menurut mereka adalah satu open secret apa yang berlaku di dalam penjara itu sememangnya berlaku. Namun sejauh mana kebenaran dan jumlah sebenar anggota penjara yang terlibat masih belum dapat dipastikan.
Tetapi untuk berlaku adil kita mengharapkan pihak penjara akan turut membantu menyiarkan kebenaran dan sejauh mana perkara ini berlaku atau tidak.
Kita juga perlu faham bahawa jika benar berlaku, jumlahnya hanya segelintir dan bukan semua anggota penjara terlibat. Saya yakin ramai lagi anggota penjara yang berpegang dengan integriti dan tidak terlibat dalam salah laku serta kekejaman terhadap para banduan.
Namun paling penting semua orang perlu faham zaman kini sudah berubah dan media sosial menguasai seluruh kehidupan manusia. Ia bukan seperti zaman akhbar dan televisyen yang agak lambat kerana apa sahaja kisah kebaikan dan keburukan, sensasi mahupun kontroversi, boleh disiarkan segera dan secara langsung.

Semua orang boleh berkongsi apa yang berlaku tanpa halangan dan batasan tanpa mengira usia dan kedudukan. Perkara sama juga berlaku dalam kes Suzana Norlihan yang menularkan isu ini melalui Facebook dan media sosial termasuk WhatsApp. Akibatnya ramai komen memuji mahupun mengeji.
Malah ada pula bekas banduan mahupun pegawai penjara sendiri yang mahu bekerjasama dengan beliau mendedahkan kepincangan di dalam penjara.
Segelintir
Nampak gayanya jika tidak ada tindakan susulan oleh pihak penjara, kes ini tidak akan ada kesudahan dan media sosial akan terus menjadi tempat untuk meluahkan pandangan mahupun keburukan dan kepincangan semua pihak terlibat.
Namun ia juga boleh membuatkan orang ramai salah faham, keliru dan timbul persepsi yang salah jika tidak ditangani atau diberi pendedahan dengan betul.
Kita boleh lihat sendiri dalam media sosial seperti Facebook, Twitter atau Instagram dan lain-lain bagaimana semua pihak bertegang urat mahu menegakkan kebenaran tentang sesuatu perkara tetapi malangnya ia bukan di tempat yang betul.
Biarlah semua pihak terlibat melakukan pendedahan melalui saluran betul. Dan jika yakin di pihak yang benar kenapa perlu risau apatah lagi kini zaman sudah jauh berubah.
Perkara yang salah mustahil tidak didedahkan kerana kewujudan media sosial sekarang tetapi bersekongkol dengan terlibat melakukan kesalahan dan kemungkaran adalah sesuatu yang memalukan tidak kira siapa.
Perkara ini adalah sesuatu yang serius dan boleh menjejaskan kredibiliti Jabatan Penjara. Sejauh mana kebenaran ini berlaku, perlu dijawab sendiri oleh pihak penjara kerana kes sebegini bukan lagi boleh dibiarkan begitu sahaja.
Pihak penjara kini perlu menjawab perkara ini dengan telus dan jujur malah perlu melibatkan semua pihak berkuasa termasuk dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, demi membersihkan namanya daripada pertuduhan berat sebegini.
Niat saya bukan mahu merosakkan imej sesiapa terutama pihak penjara. Tetapi sesuatu perlu dilakukan untuk membersihkan perkara yang mungkin berlaku.
Kita tidak mahu kerana nila setitik habis susu sebelanga. Hanya segelintir yang terlibat tidak bermakna semua anggota bersalah. Itu bukan caranya dan media sosial bukan penyelesaian.










