JOHOR BAHRU – Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mempertahankan tindakan yang diambil anggota Unit Bermotosikal (URB) yang melepaskan tembakan ke atas seorang lelaki yang mengamuk dalam kejadian di hadapan sebuah bank di Bandar Bukit Tinggi, Klang, Selangor petang semalam.
Mohamad Fuzi berkata, anggota URB tersebut mengambil tindakan itu demi mempertahankan diri daripada menjadi mangsa tikam suspek yang bersenjata tajam.
“Dalam keadaan tertentu anggota URB yang hendak diserang itu agar sukar untuk mengelakkan daripada mengambil tindakan mempertahankan diri.
“Demi menyelamatkan diri, kalau tidak dia pun mati ditikam, diserang oleh pesalah berkenaan jadi dia terpaksa melepaskan tembakan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan penubuhan pasukan Pancaragan PDRM Zon Selatan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Mohamad Fuzi memuji tindakan pantas anggotanya membantu menyelamatkan mangsa yang tidak berbuat demikian kepada anggota bertugas ketika melakukan rondaan cegah jenayah.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang semalam, seorang lelaki berasal dari Sabah cedera pada bahagian perut selepas terkena tembakan yang dilepaskan anggota URB tersebut.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal mendapati suspek terlebih dulu telah mengamuk kira-kira pukul 12.30 tengah hari selepas percubaannya untuk mengeluarkan wang daripada mesin ATM tersebut gagal.
Suspek juga disyaki dibawah pengaruh dadah ketika menyerang anggota polis berkenaan. – K! ONLINE











