[ANALISIS] Di sebalik perjalanan demokrasi dan Pilpres Indonesia - Utusan Malaysia

[ANALISIS] Di sebalik perjalanan demokrasi dan Pilpres Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS demam kempen berlangsung selama kira-kira enam bulan, 193 juta pengundi akan membuang undi pada hari esok bagi memilih Presiden dan Wakil Presiden. Kali ini, pengundi juga memilih 575 orang anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), 136 orang Dewan Perwakilan Daerah (DPD) dan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah 2019.

MOHD IZANI MOHD ZAIN
MOHD IZANI MOHD ZAIN 

Buat julung kalinya, Pemilihan Legislatif diadakan serentak dengan Pemilihan Presiden (Pilpres). Dalam pemilihan 2014,Pilpres diadakan berasingan, iaitu tiga bulan selepas Pemilihan Legislatif berlangsung. Sudah tentu Pilpres kali ini lebih dramatik dan kemampuan Komisi Pemilihan Umum (KPU) akan benar-benar teruji untuk mengendalikan pilihan raya berskala besar ini.

Ketika Indonesia mula memperkenal Pilpres pada 2004, ramai pihak sangsi akan kemampuan negara umat Islam terbesar di dunia itu menguruskannya. Jurang ekonomi yang besar menjadi halangan utama untuk melaksanakan demokrasi secara sihat. Kelompok masyarakat luar bandar dan miskin seringkali menjadi sasaran ‘demokrasi perut’ apabila undi mereka mudah dibeli dan dieksploitasi oleh ahli politik.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selepas Indonesia bangkit dengan semangat reformasi pada 1998, negara ini mengalami banyak perubahan khususnya dalam konteks demokrasi berpilihan raya. Demokrasi dilihat sebagai satu pesta untuk membuktikan kebebasan dan keadilan berlangsung di Indonesia.

Sebelum 2004, pemilihan presiden adalah permainan elit politik. Justeru, Indonesia dianggap belum benar-benar demokratik. Namun mulai 2004, presiden dipilih secara langsung oleh rakyat. Manakala seseorang presiden hanya boleh memegang jawatan selama dua penggal sahaja atau sepuluh tahun. Sistem ini sama seperti amalan di Amerika Syarikat.

Seperti yang kita sedia maklum, sebelum era reformasi, pengaruh tentera dalam politik sangat kukuh. Tentera bukan sahaja menjaga keamanan negara, tetapi turut memiliki dwi-fungsi, iaitu terlibat secara langsung dalam proses politik. Pemilihan bekas jeneral, Susilo Bambang Yudhoyono atau SBY dalam Pilpres 2004 menggambarkan rakyat Indonesia masih tidak dapat lari daripada pengaruh tentera dalam politik meskipun era reformasi sedang berlangsung.

Pada tahap awal transisi demokrasi Indonesia, khususnya dari 1998 hingga 2004, tidak dinafikan ia menzahirkan perkembangan yang kurang membanggakan. Krisis kepemimpinan sivil seperti kelemahan Presiden Abdurrahman Wahid atau lebih dikenali sebagai Gus Dur sehingga disingkirkan atas undi tidak percaya dan persaingan tinggi dalam kalangan elit politik, telah menyebabkan rakyat bosan dan tidak yakin dengan kemampuan pemimpin sivil dalam menguruskan negara.

Dalam buku Military Politics, Islam, and the State in Indonesia: From Turbulent Transition to Democratic Consolidation oleh Marcus Mietzner, dinyatakan berlaku tuntutan rakyat agar pihak tentera kembali campur tangan dalam soal politik dan menyelesaikan konflik yang berlaku. Maka, tidak hairanlah, SBY telah terpilih sebagai presiden pertama Indonesia yang dipilih secara langsung pada 2004. Beliau berjaya mengekalkan kemenangan dalam Pilpres 2009.

Pemilihan Jokowi Widodo dalam Pilpres 2014 membawa makna yang besar kepada demokrasi dan sejarah berpresiden di Indonesia. Jokowi dilihat sebagai pemimpin yang tidak mempunyai kaitan dalam sejarah elit politik dan tentera sebelum ini. Imej sederhana beliau telah berjaya memukau pengundi ketika itu untuk dinobatkan sebagai presiden.

Lawan Jokowi dalam Pilpres 2014 dan 2019 adalah individu yang sama, iaitu Prabowo Subianto. Latar belakang Prabowo sebagai bekas jeneral sedikit sebanyak telah membuka persoalan, iaitu masihkah wujud pengaruh tentera dalam politik Indonesia.

Walau bagaimanapun, kita percaya amalan demokrasi dan pilihan raya di Indonesia semakin matang. Sudah tentu banyak perubahan dan penambahbaikan dilakukan bagi memastikan amalan demokrasi dan pilihan raya terus subur dan diraikan. Pada masa yang sama, peranan tentera telah banyak dipulihkan dan diletakkan pada tempat selayaknya selari dengan semangat reformasi.

Atas kertas, seperti Jokowi dijangka akan mengekalkan kemenangan 2014. Kedudukan beliau sebagai panyandang memberi banyak kelebihan berbanding Prabowo. Namun politik adalah suatu perkara yang tidak boleh dijangka dengan tepat. Mungkin kejutan bakal berlaku kerana dalam politik, apa juga kemungkinan boleh terjadi.

Pasangan Jokowi Widodo dan Ma’ruf Amin didukung oleh sepuluh parti politik, iaitu Parti Demokrasi Perjuangan (PDIP), Parti Golongan Karyawan (Golkar), Parti Nasdem, Parti Kebangkiran Bangsa (PKB), Parti Persatuan Pembangunan (PPP), Partai Hati Nurani Rakyat (Hanura), Parti Keadilan dan Pembangunan Indonesia (PKP), Parti Bulan Bintang (PBB), Parti Solidaritas Indonesia (PSI) dan Parti Persatuan Indonesia (Perindo).

Manakala pasangan Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno didukung oleh lima buah parti politik, iaitu Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra), Partai Demokrat, Parti Amanah Nasional (PAN), Partai Keadilan Sejahtera (PKS) dan Parti Berkarya.

Sekurang-kurangnya dua perkara yang kita boleh belajar daripada Indonesia. Pertama, tarikh membuang undi perlu diumumkan lebih awal. Ini sangat penting bagi memberi persediaan rapi oleh parti politik dan rakyat selaku pengundi. Justeru, tidak ada lagi arahan pembekuan cuti atau larangan ke luar negara khususnya kepada penjawat awam sebagai langkah berhati-hati menunggu tarikh pembubaran parlimen dan mengundi.

Kedua, tempoh bertenang wajar diberikan beberapa hari menjelang tarikh pembuangan undi. Ini juga sangat kritikal bagi meredakan kehangatan suasana, seterusnya semua pihak boleh menghadapi pilihan raya dengan lebih tenang.

Persoalannya, untuk kedua-dua perkara ini, bersediakah Malaysia? Tepuk dada, tanya selera. – UTUSAN ONLINE

  • Penulis ialah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau juga Penganalisis Politik Indonesia.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini