LIVERPOOL – Penyertaan petinju Britain, Kash Ali dalam perlawanan tinju British Heavyweight dibatalkan berikutan tindakan liar menggigit pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2006, David Price sebanyak empat kali ketika pertarungan di M&S Bank Arena, Liverpool kelmarin.
Perlawanan tersebut yang sepatutnya berlangsung 10 pusingan terpaksa dihentikan pada pusingan kelima selepas Ali menggigit perut Price. Pada pusingan ketiga, pemain berusia 27 tahun itu dikesan melakukan tindakan yang sama pada bahagian leher.
Ali juga melakukan kesalahan berat apabila menumbuk belakang kepala lawannya itu hingga mendatangkan kemarahan para penonton yang hadir menyaksikan perlawanan tersebut.
Selepas perlawanan tersebut berakhir, Ali menuntut perlawanan ulangan dengan Price.
“Jika diberi peluang saya tidak mahu beraksi atau berkongsi gelanggang dengan petinju yang bertindak seperti binatang. Pada pusingan kelima lebih teruk apabila dia juga menggigit perut serta menumbuk belakang kepala saya.
“Kali pertama saya terpaksa alami insiden ngeri seperti ini. Saya harap tiada lagi petinju pelik seperti ini dalam gelanggang,” kata Price yang menuntut tindakan lebih keras di kenakan ke atas Ali.
Lembaga Tinju British memandang serius insiden tersebut dan memberi kemenangan kepada Price serta merta. – Agensi











