Adik tikam abang kerana buah sawit - Utusan Malaysia

Adik tikam abang kerana buah sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 April – Hanya kerana berebut kawasan mengambil buah sawit, seorang lelaki warga Indonesia tergamak menikam perut abang kandungnya hingga terburai di sebuah ladang kelapa sawit di Sungai Pasai Siong, Sibu, Sarawak, semalam.

Memetik laporan Utusan Borneo, Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit memaklumkan, mangsa yang dikenali sebagai Irwan Maseng, 31, bekerja sebagai pemungut buah kelapa sawit ditemui terbaring oleh mandur yang membuat tugas rutin menjalankan rondaan di kawasan ladang sekitar pukul 10 pagi.

“Mangsa ditemukan terbaring dan mengalami kecederaan parah di bahagian perut dan dipangku oleh dua rakannya. Pengadu kemudian menghubungi penolong pengurus ladang untuk meminta bantuan kenderaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mangsa kini berada dalam keadaan stabil setelah menjalani pembedahan dan ditempatkan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sibu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Stanley berkata, pengadu dimaklumkan oleh seorang pekerja yang mangsa telah bergaduh dengan adik kandungnya berpunca perebutan kawasan mengambil buah sawit,” jelasnya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

“Sejurus menerima laporan, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) bergegas ke lokasi kejadian, namun suspek yang dikenali sebagai Riswan Jumaseng, 20, telah melarikan diri menggunakan motosikal.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan polis kini sedang giat mengesan suspek. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi balai polis berdekatan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini