SERI KEMBANGAN – Orang ramai dan penyedia restoran berasaskan hidangan daging lembu wagyu berpeluang menikmati keenakan hirisan daging premium dari Jepun apabila ia ditawarkan dengan harga paling kompetitif oleh AAH Nippon Sdn. Bhd.
Pengarah Urusannya, Ajwad Abu Hassan berkata, ini kerana syarikat itu mengimport keseluruhan badan haiwan dan bukan hanya bahagian tertentu sahaja.
“Kaedah mengimport lembu wagyu dengan melibatkan keseluruhan bahagian haiwan itu termasuklah paha, kaki dan perut membolehkan harga yang ditawarkan lebih rendah berbanding membelinya pada bahagian tertentu seperti batang pinang sahaja.
“Ia secara tidak langsung membolehkan kami menjualnya kepada pelanggan pada harga yang lebih berpatutan, sekali gus memberi peluang buat orang ramai merasai keenakan daging premium itu,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Ajwad menjelaskan, bekalan daging itu diperoleh dari dua buah rumah sembelihan di Jepun yang juga telah mendapat pengiktirafan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada November 2017.
“Secara purata, kami mengimport kira-kira tiga hingga lima tan daging premium seperti wagyu dan F1 ke Malaysia pada setiap bulan dan jumlah tersebut dijangka terus meningkat berikutan wujudnya permintaan tinggi.
“Jadi, kami menyasarkan untuk mengimport kira-kira 10 tan daging wagyu sebulan dalam tempoh lima tahun akan datang memandangkan permintaan terhadap hidangan itu melebihi 20 tan sebulan,” jelasnya.
Sementara itu, Ajwad turut mengajak orang ramai mengunjungi booth AAH Nippon sempena penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2019 yang diadakan di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur mulai semalam sehingga Sabtu ini.
“Kami menawarkan pelbagai hidangan istimewa kepada pengunjung antaranya sate wagyu yang dijual pada harga RM15 secucuk selain produk-produk sampingan lain seperti burger wagyu,” ujarnya.
Selain di Mihas, orang ramai juga boleh mendapatkan produk tersebut yang dijual pengedar AAH Nippon menerusi platform media sosial Facebook dan Instagram, Halalwagyujapan atau menghubungi talian 03 3896 45072.











