PUTRAJAYA 30 April – Sistem Myportfolio yang diwujudkan sebagai antara pembaharuan dalam perkhidmatan awam sudah mencapai 94.1 peratus penggunaan.
Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar berkata, sistem itu adalah panduan digunakan penjawat awam bagi melaksanakan tugas dan menambah baik manual prosedur kerja dan fail meja terdahulu.
“Selain itu, pembaharuan lain yang dilakukan di bawah kerajaan baharu termasuk mewujudkan waktu kerja fleksi, kaedah bayaran gantian cuti rehat (GCR) yang ditambah baik dan sistem pengurusan prestasi yang lebih berkesan iaitu Myperformance,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Pegawai-pegawai Kerajaan bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di sini hari ini.
Ismail berkata, perkara utama dalam pembaharuan ialah Transformasi Perkhidmatan Awam Negara melalui proses rasionalisasi bagi mengoptimumkan sumber manusia, penyusunan semula penjawatan bagi mengelak pertindihan tugas dan fungsi, penyampaian perkhidmatan alternatif.
“Gabungan teknologi dan pengisian jawatan secara berhemah mengikut keperluan semasa sejajar hasrat kerajaan iaitu penggunaan sumber manusia secara cekap,” katanya.
Selain itu beliau berkata, penubuhan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), pemerkasaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pengukuhan kewibawaan institusi Parlimen membuktikan komitmen kerajaan dalam menghindari perbuatan salah guna kuasa.
“Kita sebagai pegawai awam perlu sentiasa berusaha menambahbaik mutu kerja serta perkhidmatan kepada rakyat sebagaimana harapan Perdana Menteri agar kita melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan berintegriti,” katanya.
Ismail berkata, berdasarkan rekod Jabatan Perhidmatan Awam (JPA) sehingga Mac lalu, jumlah keseluruhan penjawat awam ialah seramai 1.71 juta.
“Bagi sektor perkhidmatan utama, Angkatan Tentera Malaysia seramai 152,957 orang, Polis Diraja Malaysia (128,536), penjawat awam pelbagai skim (665,068), pendidikan (523,226) dan kesihatan (240,745),” katanya. – UTUSAN ONLINE











