45 PATI Filipina ditahan Imigresen - Utusan Malaysia

45 PATI Filipina ditahan Imigresen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU, 19 April – Seorang wanita bersama bayinya yang mengemis di Jalan Persisiran Highway di sini merupakan antara 45 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan Jabatan Imigresen di sekitar bandar Tawau, semalam.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, wanita berusia 30-an yang mengendong bayi tiga bulan terbabit sanggup bertindak berani melarikan diri ke laut selepas menyedari kehadiran anggota pihak berkuasa yang menjalankan Op Sapu di kawasan berkenaan.

Penolong Pengarah Imigresen Tawau, Abdul Samat Wahab berkata dalam operasi bermula 12.30 tengah hari itu, seramai 45 warga Filipina terdiri daripada 19 wanita dan seorang lelaki serta kanak-kanak (13) perempuan yang berumur antara tiga bulan hingga 89 tahun ditahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kesemua mereka kini ditahan di Pusat Tahan Sementara di sini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 dan 1963.

“Operasi seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa, ke arah menjadikan Sabah sejahtera dan aman,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, tambah Abdul Samat, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan PATI di daerah itu agar melaporkan segera kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, tinjauan Bernama hari ini mendapati kawasan yang menjadi tumpuan pengemis (bukan warganegara) di Jalan Persisiran Highway, sepi daripada kehadiran golongan itu.

Bernama sebelum ini, melaporkan kawasan itu menjadi tumpuan pengemis cilik berusia antara setahun hingga 12 tahun dan disyaki dipergunakan ibu bapa mereka untuk mengemis sebagai mata pencarian.

Hasil tinjauan, kebiasaannya pengemis cilik itu pergi dari satu kereta ke kereta lain untuk menagih simpati menggunakan isyarat meminta duit untuk makan, jika tidak dilayan mereka akan mengetuk pintu.-BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini