SEREMBAN – Sebanyak 3.92 tan gading gajah bernilai RM13.26 juta dilupuskan hari ini, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar.
Beliau berkata, kesemua 3.92 tan itu adalah hasil daripada 15 rampasan dilakukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan agensi lain sejak 2011 hingga 2017 di lapangan terbang dan pelabuhan di negara ini.
“Barang kes kemudian diserahkan kepada Jabatan Perhilitan. Daripada jumlah tersebut, berat bagi gading lengkap dan separa gading ialah 3,692.4 kilogram manakala jumlah produk gading separa siap ialah 228.89 kilogram,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelupusan barang kes gading gajah di Pusat Kualiti Alam di sini.
Mengulas lanjut, Xavier berkata, beliau percaya Malaysia digunakan sebagai negara transit kepada aktiviti penyeludupan gading gajah daripada Afrika, yang dipercayai untuk pasaran China, Hong Kong dan Vietnam.
Pun begitu katanya, adalah sukar untuk mengesan pihak yang bertangungjawab terhadap aktiviti berkenaan. – Bernama











