REMBAU 14 April – Rakyat akan terus menolak Pakatan Harapan (PH) dalam mana-mana pilihan raya selepas ini sekiranya kerajaan masih gagal menunaikan janji-janji yang dibuat semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Pandangan itu disuarakan beberapa ahli dan pemimpin PKR di sini ekoran kekalahan terbaharu PH kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau semalam.
Seorang ahli PKR, Fauzi Aziz, 40-an berkata, momentum sokongan rakyat dalam PRU-14 semakin hilang dan mula beralih kepada BN ekoran kegagalan mengurangkan kos hidup dan membawa perubahan besar kepada negara.
“Selepas PRU-14 pada tahun 2018, rakyat masih sokong PH. Empat PRK pada tahun tersebut iaitu di Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia dan Port Dickson, semuanya PH menang.
“Ketika itu masih bulan madu, tetapi apabila rakyat mula tuntut janji, mereka marah. Sebab itu dalam tahun 2019, tiga PRK di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau, rakyat protes kerajaan.
“Tahun 2018, PH punya tapi sekarang 2019, BN pula menang. Selagi ini tak diperbaiki dan kalau ada PRK atau PRU-15 sekalipun, mungkin PH akan tewas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan PRK DUN Rantau semalam yang menyaksikan calon PH, Dr. S. Streram kalah kepada calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR Cabang Rembau, K. Bathmavathi, 45, sependapat dengan Fauzi dan menganggap kerajaan PH perlu segera melaksanakan janji-janji kepada rakyat.
“Memang ada rungutan pengundi Rantau tentang isu itu, Tetapi saya yakin kerajaan perlukan sedikit masa untuk memperbaiki keadaan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata, kekalahan PH kepada BN dengan majoriti 4,501 undi tidaklah terlalu besar, malah Streram berjaya meraih sebanyak 5,887 undi yang dianggapnya sebagai tanda sokongan kepada calon itu.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PKR Cabang Rembau, M. Gunasegaran, 54, berkata, PH kalah di Rantau kerana pemilihan calon dibuat tanpa persetujuan dan pandangan ahli di peringkat cabang.
“Streram dipilih oleh pihak atasan PKR. Sepatutnya kena hormat kami di cabang. Kalau PRK Parlimen tak mengapa, sebab cabang-cabang akan cuba membantu. Tapi kalau di DUN susah, kawasan kecil, pengundi mahu anak tempatan,” ujarnya.
Beliau yang telah 20 tahun menyokong PKR dan reformasi kesal kerana ahli-ahli parti gagal menunjukkan disiplin yang tinggi dan terlibat dalam pergaduhan semasa PRK Rantau sehingga menjejaskan imej PH. – UTUSAN ONLINE











