KOTA BHARU – Seramai 167,000 rakyat Kelantan yang sudah mencapai umur 21 tahun didapati masih belum mendaftar sebagai pengundi.
Pengarah Pilihan Raya negeri, Fakhrul Razi Ab. Wahab berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada 3.7 juta rakyat di seluruh negara yang belum mendaftar dan majoritinya adalah orang Melayu.
Fakhrul Razi berkata, antara faktor yang menyebabkan masih ramai gagal mendaftar adalah tahap kesedaran yang kurang.
“Ini termasuk dalam kalangan penjawat awam yang berjawatan tinggi selain kemudahan untuk mendaftar yang masih menggunakan kaedah secara manual.
“Faktor utama adalah kurangnya kesedaran, kajian yang kita buat terutama dalam kalangan penjawat awam ada yang nak pencen dalam beberapa hari lagi masih belum mendaftar sehingga perlu dipaksa ketua jabatan.
“Semangat patriotik mereka rendah, guna alasan tidak mahu masuk campur dalam politik sedangkan ia adalah sebahagian daripada urusan hidup yang tidak boleh kita pisahkan,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Program Amalan Demokrasi Berparlimen Kelab Malaysiaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Program ini anjuran bersama Jabatan Penerangan Malaysia negeri dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri.
Yang turut hadir, Penolong Pengarah Jabatan Penerangan negeri, Azhar Ismail; Pendaftar Akademi Pilihan Raya SPR, Nik Aminuddin Nik Shahar Shah dan Pengetua SMK Pengkalan Chepa, Datin Dyuhiza Anwar.
Lebih 700 peserta dari 80 buah sekolah di negeri ini mengambil bahagian dalam program itu yang turut melibatkan simulasi pengundian dan penamaan calon selain ceramah mengenai proses pilihan raya dan amalan demokrasi di negara ini.
Sementara itu, Fakhrul Razi berkata, antara usaha yang dijalankan untuk menambah bilangan pengundi berdaftar di negeri ini adalah pelantikan lebih ramai Penolong Pendaftar Pengundi Sementara termasuk dari kalangan majlis perwakilan mahasiswa selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil agensi awam dan swasta.
“Dulu kita lantik pegawai kerajaan tetapi mereka ini sibuk jadi kita gunakan seperti wakil persatuan anak negeri dan pelajar universiti, saya sendiri turun memberi taklimat bagaimana menjadi penolong pendaftar pengundi.
“Saya juga sudah arahkan penganjuran program turun padang di semua kawasan 14 kerusi Parlimen dan 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), selain khutbah khas hari Jumaat bagi memberi kesedaran kepada semua masyarakat khususnya yang beragama Islam manakala bagi penganut agama lain akan dimaklumkan melalui pusat ibadat mereka,” katanya.
Beliau berkata, SPR kini sedang membangunkan sistem pendaftaran secara atas talian yang dijangka akan dilancar Julai ini bagi memudahkan orang ramai khususnya generasi muda mendaftar sebagai pengundi pada bila-bila masa.
Jelasnya lagi, sehingga kini terdapat 1.049 juta pengundi berdaftar di negeri ini. – K! ONLINE











