KUALA TERENGGANU 3 April – Sebanyak 11 pusat penempatan orang miskin diwujudkan di
seluruh Terengganu dengan Taman Rahmat Marang mempunyai jumlah penghuni paling ramai
iaitu 54 keluarga melibatkan 54 buah rumah.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional
negeri, Hanafiah Mat berkata, masing-masing tiga pusat seumpama itu terdapat di daerah Setiu
dan juga Besut.
Beliau memberitahu, Taman Asyakirin Kampung Saujana di Setiu menempatkan 10 buah rumah
dan sembilan keluarga, penempatan orang tua dan miskin di Rhu 10, Setiu (10 rumah dan 10
keluarga) dan penempatan orang tua dan miskin di Merang, Setiu ( sembilan rumah dan lima
keluarga).
Katanya, lain-lain ialah Kampung Machang Ajil, Hulu Terengganu yang menempatkan 15 buah
rumah dan tujuh keluarga), penempatan orang tua dan miskin Kampung Bukit Kecil, Setiu (lapan
rumah dan dua keluarga).
Kampung Gertak Seratus, Besut (lapan rumah dan tujuh keluarga), Kampung Gong Mak Som,
Besut (lapan rumah dan tujuh keluarga), Kampung Tembila, Besut ( sembilan rumah dan sembilan
keluarga).
“Begitu juga di Kampung Sura Hujung, Dungun yang menempatkan 10 buah rumah dan dua
keluarga serta Kampung Batu 4, Binjai Kemaman (10 rumah dan sembilan keluarga),” katanya.
Beliau menyatakan perkara itu ketika menjawab soalan Maliaman Kassim (Pas-Ajil) pada
Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Hanafiah turut menggariskan beberapa syarat bagi melayakkan mereka menghuni pusat
penempatan tersebut antaranya rakyat Terengganu atau bermastautin di negeri ini tidak melebihi
10 tahun.
Selain itu, jelasnya, syarat lain, setiap keluarga hendaklah didaftar sebagai rakyat miskin atau
termiskin selain pendapatan keluarga di bawah garis kemiskinan serta warga tua atau daif yang
tidak mempunyai tempat tinggal dan saudara mara. – UTUSAN ONLINE











