KUALA LUMPUR 15 April – Sebanyak 10 pengunjung di sebuah pusat hiburan di Jalan Loke Yew di sini ditahan kelmarin selepas didapati positif dadah.
Kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada sebahagian 26 pengunjung yang diperiksa pasukan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira pukul 1 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintenden Rudy Abdullah berkata, mereka yang diperiksa merupakan tujuh warga tempatan, lapan warga Vietnam serta seorang warga Myanmar.
“Hasil pemeriksaan itu mendapati 10 daripada mereka iaitu lapan lelaki tempatan serta dua wanita Vietnam berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun didapati positif dadah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Rudy, siasatan lanjut mendapati suspek ini dipercayai mengambil bahan terlarang itu dari luar sebelum datang ke pusat hiburan itu untuk berhibur.
“Kesemua suspek kini direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengambil keterangan daripada pihak pusat hiburan,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE











