Zionis ‘buas’ cabul hak Palestin - Utusan Malaysia

Zionis ‘buas’ cabul hak Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEBING BARAT 7 Mac – Di sebalik banyak laporan yang memaparkan keburukan serta kejahatan Israel, rejim Zionis seolah-olah tidak peduli apabila terus mencabuli hak asasi manusia penduduk Palestin di Tebing Barat dan Gaza.

POTONG BEKALAN AIR PENDUDUK

Lapor portal berita Maan News, bekalan air buat kira-kira 2,600 penduduk di Kampung Bardala di Lembah Jordan di utara bandar ini dipotong oleh pihak berkuasa Israel, semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tentera rejim dengan kerjasama pentadbiran awamnya memotong bekalan air kira-kira 60 peratus penduduk Pa­lestin yang tinggal di Lembah Jordan di utara Tebing Barat.

Menurut pegawai yang memantau aktiviti penempatan di Tubas dan Lembah Jordan, Mutaz Bisharat, Israel turut memotong bekalan air yang disalurkan ke kawasan tanaman milik penduduk di kampung berkenaan, sekali gus menjejaskan hasil tanaman serta ladang mereka.

Jelas Mutaz, Israel mendakwa bekalan air yang digunakan oleh penduduk di perkampungan itu diperoleh daripada sumber haram dan tidak mempunyai permit.

“Air itu diperoleh dari sebuah perigi yang terletak dalam kampung tersebut dan jelas ia adalah dari tanah Pa­lestin.

“Selepas pihak berkuasa Israel memotong bekalan air di perkampungan itu, mereka membina sebuah perigi lain untuk kegunaan penduduk Yahudi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa komuniti antarabangsa menghalang Israel dari­pada terus mencabuli hak-hak asasi manusia penduduk Palestin.

Lembah Jordan membentuk satu pertiga kawasan Tebing Barat yang dijajah dengan 88 peratus daripada tanahnya dikawal sepenuhnya oleh tentera Israel.

SEKAT BOMBA PADAM KEBAKARAN

Dalam pada itu, kekejaman Israel diteruskan apabila dua kanak-kanak Palestin maut dan seorang lagi cedera dalam insiden kebakaran melibatkan sebuah rumah di Hebron selepas pihak berkuasa Zionis menghalang pasukan bomba tiba di tempat kejadian dalam masa yang sepatutnya.

Dua kanak-kanak tersebut iaitu seorang daripadanya dipercayai berusia 18 bulan rentung dalam kejadian di kawasan perumahan Al-Salaymeh, manakala abang kepada seorang daripada mangsa yang maut cedera parah dan kini ditempatkan di unit rawatan rapi di sebuah hospital.

Media tempatan menamakan dua mangsa yang maut itu dikenal pasti sebagai Wael al-Rajabi, empat tahun dan adik perempuannya yang berusia 18 bulan, Malik.

Ketika kejadian, pasukan bomba sudah dihubungi awal, namun dihalang ke lokasi kebakaran oleh tentera Israel menerusi sekatan jalan raya.

REMAJA PALESTIN 
DITEMBAK MATI

Selain itu, seorang lagi remaja lelaki Palestin menjadi mangsa tembakan tentera Israel semasa bertempur de­ngan penunjuk perasaan di kawasan sempadan Gaza-Israel semalam.

Remaja lelaki itu maut kerana kecederaan parah akibat terkena peluru hidup dan dikenali sebagai Saif al-Deen Abu Zeid, 15.

Tentera Israel mendakwa mereka terpaksa melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan selepas mereka dibaling dengan batu serta bahan letupan.

PENDUDUK YAHUDI 
SERANG SEKOLAH

Sementara itu, penduduk Yahudi menyerang sebuah sekolah menengah Palestin yang terletak di perkampungan Urif di utara Tebing Barat.

Menurut pihak berkuasa tempatan, penduduk Israel itu menyerbu masuk ke dalam Sekolah Menengah Lelaki Urif sebelum mengepung premis berkenaan ketika sebahagian kakitangan berada dalam sekolah itu.

Tidak cukup dengan itu, penduduk berkenaan yang dilaporkan dari Yitzhar iaitu kawasan penempatan bagi penganut fanatik Yahudi turut menyerang penduduk tempatan dengan membaling batu ke arah rumah mereka sehingga mencetuskan kekecohan.

Keadaan itu juga memaksa tentera Israel melepaskan tembakan ke arah penduduk Pa­lestin yang cuba menghalang serangan berkenaan. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini