MADRID 12 Mac – Zinedine Zidane berjanji akan membuat perubahan besar-besaran apabila dilantik semula sebagai pengurus Real Madrid bagi menggantikan Santiago Solari.
Zidane yang membawa Real merangkul kejuaraan Eropah tiga kali berturut-turut kembali ke Santiago Bernabeu dengan kontrak tiga tahun selepas meletak jawatan pada Mei, tahun lalu.
Legenda bola sepak Perancis itu dibawa pulang untuk menyelamatkan kelab, yang sudah pun tersingkir daripada Liga Juara-Juara selain berdepan peluang tipis untuk menjulang gelaran La Liga.
“Banyak perkara akan berubah, dalam segala segi untuk tempoh beberapa tahun ini,” kata Zidane dalam sidang akhbar sejurus selepas menandatangani kontrak sehingga 30 Jum 2022.
Cabaran terdekat Real adalah menentang Celta Vigo dalam saingan La Liga, Sabtu ini.
Solari, bekas bintang Real sebelum ini dibawa masuk sebagai jurulatih sementara bagi menggantikan Julen Lopetegui yang dipecat pada Oktober lalu.
Real menawarkan Solari peluang untuk kekal bersama mereka menerusi peranan berbeza jika dia mahu terus bekerja di Bernabeu.
Real ditunjukkan jalan keluar dalam saingan Eropah musim ini selepas tewas 1-4 kepada Ajax di tempat sendiri, sekali gus tersingkir secara agregat 3-5
“Apabila presiden (Florentino Perez) menghubungi saya, sukar untuk berkata tidak kepadanya.
“Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa, Lopetegui atau Solari, kedua-dua mereka juga mahukan yang terbaik. Kita kena pandang ke depan,” katanya lagi. – AGENSI











