FLORIDA 5 Mac – Tiger Woods menarik diri daripada Kejohanan Golf Jemputan Arnold Palmer (API) selepas mengalami sakit leher.
Woods sebelum ini tidak menyertai kejohanan Honda Classic bagi membuat persediaan untuk kejohanan Palmer.
Bagaimanapun, pemain berusia 43 tahun itu terpaksa menarik diri daripada kejohanan itu selepas mengumumkan kecederaan yang dihadapinya menerusi laman Twitter.
“Akibat kecederaan leher yang dihadapi beberapa minggu ini, saya terpaksa menarik diri daripada API.
“Saya sedang melalui rawatan tetapi masih belum mencukupi untuk saya bermain.
“Keadaan bawah belakang saya baik dan saya tidak mengalami kecederaan lain dan kini berharap saya dapat melakukan persediaan untuk kejohanan The Players.
“Saya ingin sampaikan penghargaan saya kepada keluarga Palmer dan peminat di Orlando.
“Hubungan baik saya dengan ARnold membuatkan kejohanan ini sebagai antara kejohanan kegemaran dan saya kecewa kerana terlepas peluang beraksi,” katanya.
Aksi tahun lalu di API, Woods berkongsi kedudukan kelima dan menggunakan momentum kejohanan itu untuk membuat penampilan semula pada tahun sama.
Kejohanan tahunan di The Bay Hill Club and Lodge itu akan menampilkan juara bertahan, Rory McIlroy, Justin Rose dan Bryson DeChambeau bersama Phil Mickelson, Brooks Koepka serta juara edisi 2016, Jason Day.-AGENSI











