Wibawa 'Tuan' Nor Azian urus kilang sawit - Utusan Malaysia

Wibawa ‘Tuan’ Nor Azian urus kilang sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada akhir 2006, gadis kota dari Kuala Lumpur itu menjejakkan kaki ke Ladang Kelapa Sawit Tanah Merah, Port Dickson, Negeri Sembilan untuk temu duga kerja sebagai pelatih pengurusan di kilang sawit. Dengan berkasut sukan berbanding beberapa gadis lain yang berkasut tumit tinggi, Nor Azian Anuar bulatkan hati untuk mencari rezeki di kawasan yang didominasi kaum Adam itu.

Ramai yang skeptikal dengan keputusannya untuk bekerja di kilang sawit, namun dia tegar melakukannya. Nor Azian diterima bekerja. Dia mula berkhidmat di Kilang Kelapa Sawit (KKS) Rantau sebelum KKS Ulu Remis, Johor diikuti ibu pejabat Sime Darby Plantation di Selangor.

Siapa sangka, selepas lebih 10 tahun, kini Nor Azian, 37 kembali ke KKS Tanah Merah yang pernah dijejakinya semata-mata untuk temu duga dahulu, kali ini bagi menyandang jawatan pengurus. Bahkan, dia baru-baru dilaporkan media telah mencatat sejarah sebagai pengurus wanita pertama kilang kelapa sawit Sime Darby selepas lebih 100 tahun kewujudan syarikat tersebut yang telah bergabung dengan Kumpulan Guthrie Berhad (Guthrie) dan Golden Hope Plantations Berhad pada 2007.

Memuatkan artikel berkaitan…

Memecah dominasi lelaki selepas kira-kira seabad kewujudan syarikat terkemuka tanah air itu yang turut memfokuskan perladangan, Nor Azian wajar berbangga apabila namanya terpampang di papan tanda pintu masuk sebuah kilang sawit.

Dipanggil ‘Tuan’ oleh kakitangannya, wanita bujang bertudung itu membiarkan saja kerana percaya ia telah menjadi kelaziman para pekerjanya yang selama ini hanya berboskan kaum Adam.

“Kalau difikirkan, saya pun tidak sangka, KKS inilah yang dahulunya tempat saya temu duga untuk menyertai Guthrie sebagai pelatih pengurusan merangkap penolong pengurus kilang kelapa sawit dan sekarang saya datang semula ke sini sebagai pengurusnya.

“Sejarah Sime Darby bermula sejak 1910, manakala Guthrie dan Golden Hope 1800-an yang mana ketiga-tiga entiti ini selama ini belum pernah ada pengurus kilang sawit wanita. Lebih 100 tahun itu tempoh yang panjang dan saya percaya, syarikat juga pastinya telah membuat keputusan yang sukar dan mencabar, namun saya ingin mengucap terima kasih kepada syarikat kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk menggalas tanggungjawab ini,” katanya kepada K2 ketika ditemui di KKS Tanah Merah, Port Dickson baru-baru ini.

Nor Azian merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia, Universiti Sains Malaysia (USM). Wanita yang dibesarkan di Taman Keramat, Kuala Lumpur itu kini menerajui KKS Tanah Merah dengan mengetuai tiga penolong pengurus lelaki dan 112 pekerja dengan 90 peratusnya ialah lelaki.

Memanjat

KKS Tanah Merah merupakan sebuah kilang memproses buah sawit menjadi minyak sawit mentah yang mana buah sawit itu datang daripada empat ladang iaitu ladang kelapa sawit Tanah Merah, Bukit Pelanduk, PD Lukut dan Salak.

Nor Azian bukan si kecil anak, tetapi dia adalah seorang yang telah melalui segala proses untuk menjadi seorang pengurus KKS. Sebelum ini dia menjawat jawatan penolong pengurus di KKS Rantau dan Ulu Remis yang memerlukan ‘wanita besi’ itu berurusan dengan hampir keseluruhannya pekerja lelaki, memanjat sendiri tempat setinggi kira-kira 10 meter setiap hari, masuk ke dalam tangki, berada dalam persekitaran yang panas dan sebagainya.

Mengimbau mengenai detik mula bekerja pada Mac 2007, Nor Azian berkata, pada awalnya, bukanlah suatu yang mudah untuk seorang perempuan muda dari ibu kota tinggal bersendirian di kawasan ladang tanpa akses internet dan sebagainya. Mujur, bapa dan arwah ibunya sangat mendorongnya untuk tabah dan berjaya.

“Masa itu, saya hanya fikir untuk bekerja tidak kira di manapun selepas tamat belajar. Saya bukan memandang kepada buah atau ladang sawit itu sebaliknya minat saya terhadap bidang kejuruteraan termasuk mesin-mesin yang terlibat dan kecenderungan saya terhadap oleokimia iaitu melibatkan lemak haiwan atau tumbuhan.

“Saya bukanlah seorang yang dari kecil biasa dengan buah sawit dan ladang sawit. Saya pegang buah sawit pun apabila mula bekerja. Kawan-kawan saya turut meragui keputusan saya. Ya lah, bila sebut ladang sawit, ia langsung tidak ada bayang-bayang wanita,” selorohnya yang mengakui seorang yang lasak sejak kecil.

Nor Azian berkata, apabila dilantik menjadi pengurus, apa yang paling mencabar baginya adalah untuk membuang tanggapan negatif orang terhadap ketua wanita memandangkan ini bukan sahaja kali pertama bagi pekerja-pekerjanya bahkan dalam syarikat itu.

“Saya perlu bekerja keras untuk menangkis tanggapan tertentu yang lazim dikaitkan dengan bos wanita. Saya perlu berusaha untuk mendapatkan kepercayaan mereka. Pendekatan yang saya lakukan ialah berhikmah iaitu bekerja bersama-sama, bukan bekerja untuk saya. Saya turun padang, berbincang, memberi mereka peluang untuk memberi pandangan. Kalau ada masalah mesin misalnya, saya bukan sekadar mengarahkan bahkan saya juga berada di situ,” kata wanita berkaliber itu.

Nor Azian juga mengagumkan apabila menjadi pemimpin wanita Melayu di sebuah kilang dalam penempatan ladang yang sinonim dengan kaum India. Ceritanya, ramai dalam kalangan penduduk ladang dan pekerjanya ialah kaum India dan warga Indonesia.

Nor Azian berkata, antara kejayaan yang telah dicapai KKS Tanah Merah ialah ia kini merupakan salah satu kilang yang diberi kepercayaan untuk memproses buah sawit menjadi minyak sawit bertaraf kualiti premium.

“Saya juga melakukan beberapa modifikasi kelengkapan yang ada di kilang. Maklumlah, KKS ini sudah berusia 41 tahun, banyak peralatan yang sudah ‘tua’. Kami juga melakukan beberapa penambahbaikan termasuk pemantauan lebih ketat untuk memastikan minyak yang dihasilkan berkualiti.

“Saya selalu berkata kepada pekerja saya, kita tidak boleh kawal kualiti buah sawit atau bahan mentah yang kita dapat, tetapi apa yang kita boleh kawal ialah proses yang kita lakukan.

“Alhamdulillah, KKS ini mampu memproses 160,000 tan buah sawit setahun,” katanya.

Sudah namanya wanita yang gemarkan kecantikan, kepimpinan Nor Azian turut menyuntik elemen kewanitaan di ladang sawit apabila dia dan staf-staf wanitanya yang cuma kira-kira 12 orang menanam pokok-pokok bunga untuk memperindah kawasan kilang.

Minat

Dia juga menganjurkan aktiviti bersama staf wanitanya termasuk menghargai para pekerja wanita yang kesemuanya golongan ibu pada setiap kali hari ibu.

Namun, sesuatu yang mungkin tidak ramai tahu, Nor Azian mendedahkan, cita-cita awalnya mahu menjadi pakar ekonomi kerana sangat meminati matematik. Dia kurang meminati subjek sains di sekolah. Minat terhadap sains hanya timbul semasa di tingkatan empat.

“Bapa saya memupuk minat saya terhadap sains termasuk membelikan saya majalah Dewan Kosmik. Tidak lama selepas itu, minat saya terhadap sains terutama kimia begitu utuh sehingga saya menyimpan impian untuk menjadi jurutera,” katanya.

Mengharapkan penglibatan lebih ramai wanita dalam bidang kejuruteraan, Nor Azian berkata, bidang itu begitu luas dan boleh diceburi wanita.

“Apa yang kita perlu sebagai wanita cumalah keberanian. Dengan keberanian itu kita akan mampu hadapi apa jua halangan.

“Bagi saya, kita jangan meletakkan batasan terhadap keupayaan kita sendiri. Jangan letakkan jantina itu sebagai alasan untuk kita sekat atau tidak menonjolkan keupayaan yang yang sebenar. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya,” ujarnya.

Nor Azian Anuar memecah dominasi lelaki dengan menjadi pengurus kilang kelapa sawit wanita pertama Sime Darby selepas lebih seabad kewujudan syarikat tersebut yang ditubuhkan sejak tahun 1910.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini