Waspada, militan Malaysia di Syria ingin pulang - Utusan Malaysia

Waspada, militan Malaysia di Syria ingin pulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 Mac – Malaysia perlu bersiap sedia mendepani fenomena militan dari negara ini di Syria yang ingin pulang setelah menyesal terlibat dalam aktiviti radikal dan keganasan sebelum ini.

AHMAD EL MUHAMMADY UTHMAN EL MUHAMMADY
AHMAD EL MUHAMMADY UTHMAN EL MUHAMMADY 

Penyarah Sains Politik dan Pengajian Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ahmad El Muhammady Uthman El Muhammady berkata, pihak polis khususnya perlu melakukan penelitian strategi dan langkah bagi mendepani perkara itu kerana fenomena berkenaan dijangka berlaku dalam tempoh kira-kira dua tahun lagi.

Jelasnya, berdasarkan kajian setakat ini, beberapa militan yang merupakan rakyat Malaysia di Syria termasuk ahli keluarga mereka menyatakan hasrat ingin pulang ke tanah air.

“Kerajaan kita harus bersedia apakah langkah-langkah dan strategi untuk menangani perkara ini, kerana ramai, bukan sedikit. Mereka masih di luar negara dan ada antaranya yang menghubungi saya, ingin kembali ke negara kita.

“Jadi ini perlunya satu penelitian, dan saya yakin pihak polis sudah ada strategi, namun, sejauh mana ia berkesan serta boleh dilaksanakan? Strategi itu perlu dikomunikasikan dengan militan ini supaya mereka mengetahui apakah proses yang betul untuk pulang,” katanya ketika dijemput sebagai panel jemputan dalam segmen Sembang Online dengan topik Belia Ekstremis: Siapa dan Mengapa?, semalam.

Ahmad El Muhammady merupakan salah seorang pakar rujuk buku Belia Ekstremis yang bakal diterbitkan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Malaysia (IYRES) pada bulan hadapan.

Buku itu mengetengahkan kajian selama tujuh bulan mengenai penglibatan belia dalam ekstremisme yang boleh diguna pakai oleh kerajaan dan pihak-pihak berkepentingan untuk membanteras kegiatan tersebut.

Dalam pada itu,  Ahmad El Muhammady turut menjelaskan sekiranya isu ini dibiarkan, ‘pejuang’ yang belum pulang berkemungkinan melakukan aktiviti keganasan itu di negara lain, sekali gus memburukkan nama Malaysia di mata dunia.

“Kalau mereka pergi ke negara lain, melakukan aksi-aksi keganasan, kerajaan kita akan menghadapi masalah lebih besar daripada sekarang dan kita akan dikutuk di seluruh dunia. Sedangkan di rantau Asia Tenggara pun kita sudah dengar suara-suara yang ‘mengutuk’ kita,” katanya. – UTUSAN ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×