Warga emas hilang sejak semalam ditemui - Utusan Malaysia

Warga emas hilang sejak semalam ditemui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM – Seorang warga emas yang tidak pulang ke rumahnya di Kampung Gunung Bongsu di sini sejak semalam ditemui lemah petang ini, menahan sakit akibat tapak kaki kanannya tersusuk ranting kayu ketika mencari petai di Hutan Gunung Bongsu di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Zainol Mohd Arshad, 72, dipercayai keluar dari rumahnya pada pukul 10 pagi semalam dengan menaiki motosikal untuk mencari petai di hutan berkenaan sebagai sumber pendapatan sampingan.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Yusri Yusoff berkata Zainol ditemui dalam keadaan lemah kira-kira satu kilometer dari tempat di meletakkan motosikalnya di kaki hutan itu.

Beliau berkata, bomba menerima panggilan telefon daripada anak Zainol yang memaklumkan bapanya hilang di hutan selepas keluar mencari petai dan usaha mencarinya turut disertai oleh penduduk kampung semalam, namun warga emas itu tidak ditemui.

“Jadi kami bersama penduduk kampung, polis dan Rela menjalankan operasi mencari dan menyelamat yang bermula pada jam 11.51 pagi ini dan berjaya temui Zainol pada pukul 3.45 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Yusri berkata, ketika ditemui, Zainol tidak boleh bercakap dan badannya sudah berbau akibat daripada kesan tapak kaki kanannya yang cedera itu.

“Dia sangat lemah, kita tak boleh nak tanya banyak soalan untuk tahu sejak bila dia berada dalam keadaan begitu. Kita telah membawanya keluar dengan menggunakan pengusung dan hantar dia ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut,” katanya. – Bernama

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN