SHAH ALAM – Seorang banduan warga emas terpaksa meringkuk lebih lama dalam penjara apabila dihukum penjara 26 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM285,000 empat tahun lalu.
Hakim Yang Zaimey Yang Ghazali memutuskan demikian terhadap tertuduh, Shee Fook, 71, selepas berpuas hati dengan pihak pendakwaan dan pengakuan bersalah tertuduh sebelum ini.
Yang Zaimey turut memutuskan hukuman penjara yang sedang dilalui Shee Fook ketika ini dijalankan secara berasingan dengan perintah hukuman yang dikenakan hari ini.
Shee Fook ketika ini sedang menjalani hukuman penjara selama lima tahun sehingga Mei 2021 di Penjara Kajang atas kesalahan di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 424 Kanun Keseksaan membabitkan kes di Negeri Sembilan dan Melaka.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Fook didakwa menggunakan wang berjumlah RM35,000 dan RM250,000 iaitu hasil aktiviti penggubahan wang haram dari akaun simpanan miliknya.
Perbuatan itu dilakukan di dua bank masing-masing di Seri Kembangan dan Bandar Baru Seri Petaling pada 13 hingga 17 Februari 2015.
Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana-mana lebih tinggi.
Terdahulu, Shee Fook yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman terhadapnya dikurangkan dan dijalankan serentak bersama kes lain berikutan dia mempunyai penyakit kencing manis selain menyesal dengan kesalahan dilakukannya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Syafinas Shabudin membantah dan menegaskan kesalahan dilakukan tertuduh adalah berbeza dengan kesalahan terbaharu itu adalah pengubahan wang haram melibatkan pelaburan yang tidak wujud.
Mengikut fakta kes, tertuduh telah menipu sepasang suami isteri mengenai pembelian tanah di Pekan, Pahang dekat sini sebanyak RM1.8 juta. Tertuduh telah menggunakan alasan penjualan tanah tersebut bagi perbelanjaan pembedahan mak mentuanya.
Mangsa berusia 78 dan 69 tahun itu kemudiannya telah membayar wang sebanyak RM290,000 melalui tiga transaksi ke dalam dua akaun bank tertuduh pada 13 sehingga 17 Februari 2015. – K! ONLINE











