MELAKA – Seorang pemandu lori direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes mencederakan isterinya sehingga terpaksa menerima 20 jahitan di kepala, dalam kejadian tengah hari semalam.
Perintah reman sehingga 8 Mac itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Mohd. Anuar Ostadi terhadap suspek berusia 31 tahun itu.
Suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan dan 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Menurut sumber, suspek ditahan di pejabat Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11) Ibu pejabat Polis Kontinjen Melaka di Bukit Beruang di sini semalam.
Katanya, siasatan awal mendapati, sebelum kejadian telah berlaku perselisihan faham antara pasangan suami isteri itu yang menyebabkan suspek berang dan bertindak menyimbah air milo panas ke dada mangsa.
“Suspek turut membaling penyodok sampah ke muka mangsa sehingga menyebabkan wanita berusia 31 tahun itu cedera di bahagian dahi dan menerima 20 jahitan di Hospital Melaka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi mengesahkan reman tersebut. – K! ONLINE











