ARAU 18 Mac – Kaum wanita di negeri Perlis disarankan agar jangan malu untuk tampil ke hadapan membuat laporan bagi membela diri masing-masing jika menjadi mangsa kepada keganasan rumah tangga.
Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Perlis, Shuhada Sabri berkata, seluruh masyarakat juga perlu bertanggungjawab terhadap “Kempen menghentikan keganasan terhadap wanita” yang mana pada ketika ini statusnya ialah ‘Akta Keganasan Wanita’ akan dibahas di Parlimen.
Ini adalah kerana, kata beliau, kaum lelaki seharusnya bertindak sebagai tulang belakang wanita dan melindungi kaum wanita.
Demikian menurut Shuhada bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia yang diadakan di Masjid Darul Abrar Kampung Kubang Gajah, Arau baru-baru ini.
Majlis tersebut disekalikan dengan majlis perpisahan beliau serta program ‘Sifar Keciciran Sekolah’ anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Perlis peringkat SMK Mata Ayer, SK Oran dan SJK (C) Kong Aik Mata Ayer’ dan ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran program tersebut.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Untuk rekod, satu Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Perlis untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang berkaitan telah dimeterai tahun lalu dan pelaksanaannya akan diteruskan di masa-masa yang akan datang.










