Wang simpanan, Tabung Haji lesap ditipu Inspektor Narita - Utusan Malaysia

Wang simpanan, Tabung Haji lesap ditipu Inspektor Narita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN – Seorang guru wanita di sini kerugian RM113,000 selepas menukar nombor telefon untuk tujuan perbankan online seperti diarahkan individu menyamar polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa berusia 51 tahun itu mula dihubungi suspek wanita yang menyamar sebagai pegawai sebuah bank pada 28 Februari lalu.

Ujar beliau, suspek memaklumkan kononnya mangsa mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman selama tiga bulan sebelum talian telefon disambung kepada seorang wanita menyamar polis.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Suspek menyamar polis itu memaklumkan mangsa terlibat pengubahan wang haram RM1.5 juta. Pada 6 Mac lalu pula, mangsa dimaklumkan akaun Tabung Haji dan Bank Rakyat miliknya telah dibekukan oleh Bank Negara.

“Mangsa diarahkan pergi ke Bank Rakyat untuk menukar nombor telefon yang diberikan oleh suspek. Mangsa juga dilarang melakukan sebarang transaksi selama tujuh hari,” ujar Mohd. Wazir.

Beliau menambah, mangsa sekali lagi dihubungi pada 21 Mac lalu dan diarahkan membayar wang ikat jamin sebanyak RM80,000 sekiranya tidak mahu ditangkap.

“Suspek mengarahkan mangsa membuat pinjaman Bank Islam sebanyak RM80,000. Selepas pinjaman tersebut diluluskan, wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun Bank Rakyat,” katanya.

Tambah beliau, mangsa berasa curiga selepas memindahkan wang tersebut pada 28 Mac lalu dan terus membuat semakan akaun sebelum mendapati RM113,000 telah lesap.

“Setelah disemak, didapati wang dalam akaun mangsa telah dipindahkan ke akaun individu lain. Mangsa terus membuat laporan polis semalam,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini