KUALA LUMPUR 27 Mac – Pesan dan bayar dalam talian kemudian kutip ‘barang’ yang ditinggalkan di bawah kereta di mana-mana pasar raya yang ditentukan.
Itu modus operandi baharu dikenal pasti Polis Kuala Lumpur yang digunakan pengedar dadah di Lembah Klang selepas ‘port’ jualan mereka di pusat-pusat hiburan digempur polis tanpa henti sejak setahun lalu. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, modus operandi itu dikesan digunakan sepasang kekasih berusia 28 dan 40 tahun yang masing-masing ditahan di tempat letak kereta dan satu unit kondominium di Central Residence @ Suria Sungai Besi di sini Sabtu lalu.
“Mereka menjalankan kegiatan itu sejak tiga bulan lalu dengan mempromosikan dadah di aplikasi WeChat dan meminta pelanggan membuat bayaran di akaun bank milik orang lain.
“Selepas pembayaran dibuat, mereka akan meletakkan bungkusan dadah tersebut di bawah mana-mana kereta yang diparkir di sekitar pasar raya sebelum mengarahkan pembeli mengambil barangan tersebut di situ,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.
Menurut Mazlan, modus operandi baharu itu digunakan supaya pembeli dan pengedar tidak mengenali antara satu sama lain selain mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
“Kedua-dua suspek positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau berhubung kes dadah.
“Suspek lelaki berusia 40 tahun ditahan reman sehingga Jumaat manakala suspek wanita berusia 28 tahun direman sehingga 2 April depan,” ujarnya.
Tambahnya, dalam tangkapan tersebut, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM590,779. – UTUSAN ONLINE











