KUALA LUMPUR 4 Mac. – Sebanyak tujuh saman telah dikeluarkan terhadap seorang pelajar tingkatan 5 selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan ketika ditahan dalam operasi bersepadu di sekitar Dataran Merdeka dan Jalan Raja Laut, di sini malam tadi.
Dalam operasi bermula pukul 10.30 malam sehingga 1 pagi itu, remaja berusia 17 tahun itu ditahan oleh Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas mendapati dia mengubah suai struktur motosikalnya.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, selain itu, remaja berkenaan turut dikesan tidak memiliki lesen serta menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.
Ujarnya, soal siasat terhadap remaja berkenaan, dia mengakui telah mengubah suai motosikal milik bapanya bagi tujuan lumba haram.
“Remaja itu telah mengubah suai motosikal tersebut sejak tiga minggu lalu sebelum dia ditahan hari ini.
“Dalam pada itu, dalam operasi yang sama juga kita turut menahan seorang lelaki berusia lingkungan 40-an kerana menunggang motosikal dalam keadaan mabuk,” katanya di sini hari ini.
Tambah Zulkefly, sebanyak 375 saman dikeluarkan oleh pihaknya manakala 36 notis periksa kenderaan telah dikeluarkan JPJ.
“Dalam operasi ini juga, sebanyak 745 motosikal dan 196 kereta diperiksa,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE










