PASIR GUDANG 11 Mac – Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putihdan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih di sini beroperasi semula pagi ini selepas ditutup sejak Khamis lalu akibat pencemaran sisa kimia.
Video oleh NUR AISYAH MAZALAN
Seramai 1,600 murid dan guru dari kedua-dua sekolah itu memulakan sesi persekolahan selepas kerja-kerja pembersihan sisa kimia dilakukan bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, kedua-dua sekolah ini dibuka selepas mendapat kebenaran dan pengesahan pihak bomba serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang memaklumkan keadaan kembali pulih.

Menurutnya, walaubagaimanapun pihak sekolah terutamanya guru-guru perlu berjaga-jaga selain mengambil tindakan segera jika terdapat simptom-simptom sama dihadapi pelajar sebelum ini.
“Hari ini dua sekolah terlibat dibuka balik seperti biasa selepas dua hari diberi cuti kecemasan iaitu pada Khamis dan Ahad akibat peristiwa sungai tercemar ekoran pembuangan sisa toksik.
“Sehingga kini dua pelajar masih diberi rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru dan lapan pelajar ditempatkan di wad biasa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau SK Taman Pasir Putih di sini sebentar tadi.

Khamis lalu SK Pasir Putih dan SMK Pasir Putih ditutup ekoran 35 mangsa terhidu bahan kimia dibuang secara haram di Sungai Kim Kim kira-kira 500 meter dari kedua-dua sekolah itu. – UTUSAN ONLINE











