[VIDEO] Polis rampas heroin, syabu RM500,000 - Utusan Malaysia

[VIDEO] Polis rampas heroin, syabu RM500,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN 1 Mac – Polis menumpaskan satu sindiket yang aktif mengedar dadah di negeri ini dan Perlis, setelah menahan lima lelaki tempatan dan merampas 26.6 kilogram (kg) heroin dan 2.5 kg syabu bernilai RM475,000 dalam serbuan di tiga lokasi berasingan di negeri ini, semalam.

Dalam tiga serbuan di Alor Setar, Pendang dan di sini, antara pukul 1 hingga 6 pagi itu, polis turut merampas empat buah kenderaan jenis BMW, Mini Cooper, Mitsubishi Triton dan Perodia Myvi yang keseluruhannya bernilai RM340,000.

Menurut Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Zulkifli Ali kesemua dadah itu mampu membekalkan kepada seramai 100,000 orang penagih jika terlepas ke pasaran gelap.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita percaya kumpulan ini telah bergiat aktif mengedar dadah di Kedah termasuk Langkawi dan Perlis sejak dua bulan lalu sebelum ditumpaskan.

“Kesemua dadah yang siap dibungkus untuk dipasarkan ini ditemukan di dalam sebuah rumah kampung di Sedaka, Yan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Tambah beliau, berdasarkan pemeriksaan, dua sahaja daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau selain kesemuanya negatif ujian air kencing.

Katanya lagi, kesemua suspek yang berusia antara 21 hingga 39 tahun tersebut telah direman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN