[VIDEO] Nasib lebih 100 kakitangan MMC tidak menentu - Utusan Malaysia

[VIDEO] Nasib lebih 100 kakitangan MMC tidak menentu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 5 Mac – Lebih 100 kakitangan di Pusat Perubatan Mawar (MMC) di sini buntu memikirkan nasib mereka ekoran tidak menerima gaji selepas pusat itu diarah tutup oleh Kementerian Kesihatan bulan lalu.

Kakitangan dari pelbagai unit di pusat perubatan itu turut mendakwa pihak pengurusan masih membisu berhubung masa depan mereka dan gagal dihubungi.

Seorang jururawat, Shuhada Saad, 29, berkata, selepas MMC diserbu dan diarah tutup pada 14 Februari lalu, kakitangan tidak tahu status mereka dan nasib hospital berkenaan.

“Kami hanya diminta tunggu tapi sehingga kini tak tahu sama ada kami masih kakitangan atau bagaimana. Tidak ada hitam putih manakala Pengerusi MMC (Datin Chua Lay Ping), masih belum berjumpa kakitangan.

 

“Gaji bulan Februari belum dibayar dan lewat lapan hari dari tarikh sepatutnya. Sebelum ini ada laporan akhbar mengatakan kami tak akan dapat gaji pada Februari. Kami tak dimaklumkan, hanya tahu melalui laporan

media,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat aduan bersama kakitangan lain di Jabatan Tenaga Kerja di Wisma Persekutuan di sini hari ini.

Kementerian Kesihatan baru-baru ini membatalkan lesen MMC dan mengarahkannya menghentikan operasi selepas didapati melanggar ketetapan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Masalah lesen itu berpunca daripada isu dalaman yang menyebabkan semua doktor pakar di MMC meletakkan jawatan selepas dikatakan tidak dibayar gaji.

Sementara itu, seorang atendan di unit dialisis, Rosli Ismail, 59, berkata, situasi dialami mereka umpama ‘anak ayam kehilangan ibu’ kerana belum ada maklumat diberikan oleh pihak pengurusan.

“Saya telah berkhidmat selama 18 tahun dan kecewa dengan cara kami dilayan. Mereka biarkan kami tanpa arah. Ramai kakitangan masih muda, ada yang baru kahwin dan dapat cahaya mata. Mereka hendak beli susu anak pun tak ada duit,” katanya.

Rosli berkata, beliau berharap kerajaan negeri dapat mengambil alih pusat perubatan berkenaan secepat mungkin bagi mengatasi masalah dialami mereka.

“Mungkin semasa kementerian arah MMC ditutup, mereka tidak ambil kira nasib kakitangan. Saya harap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun boleh membuat keputusan segera kerana sebelum ini kerajaan negeri berhasrat ambil alih MMC,” katanya.

Sementara itu, usaha menghubungi Lay Ping bagi mendapatkan ulasannya berhubung masalah berkenaan tidak berhasil. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN