KUALA LUMPUR 21 Mac – Isu wang tuntutan cukai barang dan perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion yang didakwa ‘dirompak’ kerajaan sebelum ini oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menggamatkan sesi sidang Dewan Rakyat pagi ini.
VIDEO DEWAN RAKYAT
Ia bermula apabila Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) dilihat tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Guan Eng berkenaan tuduhan Ahli Parlimen Bagan itu dengan soalan tambahan diberikan.
“Mengikut kajian daripada kita ia tidak dirompak, duit itu tidak dibawa ke mana-mana kecuali digunakan oleh kerajaan mungkin untuk tujuan yang lain, mohon Yang Berhormat jelaskan,” katanya.
Sebaliknya, Guan Eng memberitahu, jumlah RM19.4 bilion hutang bayaran balik GST itu adalah jumlah yang besar dan tidak dipulangkan selama lebih dua tahun dengan Petronas serta anak-anak syarikat sahaja dihutang dengan jumlah sebanyak RM4.2 bilion.
Jawapan itu jelas menimbulkan rasa tidak puas hati Tajuddin serta beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang lain.
“Saya bertanya RM19 bilion itu sama ada dirompak itu adakah betul, kita tiada masa. Yang Berhormat tak menjawab soalan saya.
“RM19.4 bilion tuduhan merompak serius, kalau dalam Islam dosa besar, tuduh orang. Saya nasihatkan Yang Berhormat supaya jadi pemimpin yang baik jangan tuduh sembarangan, malu seluruh dunia mendengar,” katanya.
Guan Eng kemudian menjawab beliau bersetuju menjadi pemimpin yang baik seperti disarankan dengan bercakap benar.
“Sememangnya wang ini yang sepatutnya dibayar balik tetapi tidak dibayar balik, sungguhpun lebih dua tahun,” jelas Guan Eng.- UTUSAN ONLINE











