KUALA SELANGOR 5 Mac – Pengunjung di Pantai Sungai Sembilan, dekat Pantai Remis, Jeram, di sini gempar apabila seekor ikan lumba-lumba dipercayai tersesat di kawasan perairan berbatu, di tepi pantai berkenaan, hari ini.
Video MEDIA SOSIAL
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, beberapa penduduk cuba menyelamatkan mamalia berkenaan daripada luka terkena batu dan membantunya berenang semula ke laut.
Husin Jaumar, 58, berkata, kelibat ikan lumba-lumba itu disedari ketika sedang bersantai dengan beberapa rakannya di sebuah warung di tepi pantai tersebut.
“Saya tidak menyangka benda hitam yang seolah-olah hanyut ke arah pantai itu rupa-rupanya seekor ikan lumba-lumba,” katanya yang juga berpengalaman sebagai nelayan.
Menurut Husin walaupun sudah lama bergelar nelayan, ini kali pertama dia melihat ikan lumba-lumba dari dekat dan lebih manis dapat memegang serta memeluk mamalia tersebut.
Katanya sebelum itu, dia bersama seorang rakannya mengangkat mamalia sepanjang 1.22 meter dan seberat lebih 35 kilogram itu ke kawasan lebih selamat dan jauh sedikit daripada kawasan berbatu itu sementara menunggu air laut pasang.
“Apabila air laut pasang setengah jam kemudian, saya berusaha menolak ikan itu ke tengah tetapi ikan itu beberapa kali patah balik ke arah pantai sebelum akhirnya dia berenang ke laut” katanya.
Jelasnya, penemuan ikan lumba-lumba itu turut dimaklumkan kepada pihak perikanan dan pasukan keselamatan.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Kuala Selangor, Kapten Shaiful Azril Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mamalia itu pada pukul 3.45 petang.
Katanya, sepasukan tiga anggota dengan sebuah kenderaan utiliti digerakkan ke lokasi.
“Bagaimanapun, sebaik sampai didapati ikan lumba-lumba tersebut telah dilepaskan orang ramai ke laut,” katanya. – UTUSAN ONLINE











