[VIDEO] ‘Dulu ‘berperang’ sekarang kami saudara’ - Utusan Malaysia

[VIDEO] ‘Dulu ‘berperang’ sekarang kami saudara’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU 7 Mac – Guar Sanji yang terletak kira-kira satu kilometer dari bandar Arau merupakan antara kubu kuat Pas di negeri ini.

Manakala di Pauh iaitu tidak jauh daripada Guar Sanji pula adalah adalah kubu terkuat UMNO di Perlis dengan siapa sahaja calon bertanding siang-siang lagi sudah tahu keputusan memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Jika dahulu, penyokong Pas dan UMNO di dua kawasan tersebut boleh dikatakan berpatah arang, tidak boleh bertentang mata pasti akan berlaku perang mulut atau bergaduh sesama mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berat sungguh hati penyokong Pas untuk bersama UMNO, begitu juga ahli UMNO, jauh sekali untuk duduk sesama mereka.

Namun suasana tersebut sudah mula berubah sejak akhir-akhir ini apabila penyokong kedua-dua parti terbesar orang Melayu Islam itu mula bersatu demi perpaduan ummah.

Malah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dan Semenyih baru-baru ini, penyokong Pas melompat kegembiraan dan memanjat kesyukuran apabila BN menang di kerusi tersebut.

Suasana seperti itu, sememangnya tidak pernah diimpikan selama ini boleh berlaku namun atas kehendak Allah SWT akhirnya orang Melayu Islam bersatu melalui kerjasama UMNO dan Pas.

Hari ini, kalau melihat suasana di kedai-kedai makan sekitar kawasan berkenaan, penyokong UMNO dan Pas sudah boleh duduk semeja berbincang mengenai politik tanpa perlu bergaduh lagi.

Seorang ahli Pas dari Guar Sanji, Saifullah Abi Jamrah,34, berkata, sejak sekian lama penyokong Pas dan UMNO tidak boleh bertentang mata dan sering bergaduh khususnya hal-hal berkaitan politik.

“Alhamdulilah sekarang, di tempat kenduri, kedai-kedai kopi, boleh duduk semeja dan boleh duduk dalam saf di surau dan masjid tanpa bergaduh seperti dahulu lagi. Pas dan UMNO bersatu ini adalah disebabkan Islam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Manakala ahli UMNO dari Pauh, Mohd. Shukur Roshidi, 41, pula berkata, kerjasama dan penyatuan antara parti itu dan Pas sememangnya dinantikan seluruh umat Islam.

“Sudahlah kita sesama Melayu bergaduh, kini adalah masa yang sesuai untuk penyatuan ini dan diharap dapat diteruskan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Sebagai ahli UMNO, kita juga sudah bersedia sepenuhnya membantu kempen Pas jika berlakunya pilihan raya pada masa akan datang,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini