JOHOR BAHRU 1 Mac – Polis sedang memburu lima wanita dipercayai berketurunan Arab kerana disyaki melarikan sebanyak 14 utas rantai emas dianggarkan bernilai RM65,000 daripada sebuah kedai emas di Jalan Dato Tan Seng Leong dekat Kluang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd. Abduh Ismail berkata, kejadian pada 5.30 petang itu disedari pengadu yang merupakan jurujual di kedai tersebut selepas kelima-lima suspek beredar daripada premis berkenaan.
Menurutnya, semasa kejadian, jurujual wanita berusia 19 tahun yang sedang bekerja didatangi lima pelanggan dipercayai berketurunan Arab yang mahu melihat rantai emas yang dijual di kedai tersebut.
“Pengadu kemudian mengeluarkan beberapa utas rantai daripada almari pameran dan menunjukan kepada mereka sebelum kelima-lima wanita itu terus bertindak keluar daripada kedai selepas mereka melihat rantai emas itu.
“Jurujual wanita yang berasa tindakan suspek meragukan telah memeriksa semula rantai emas yang dikeluarkan dan mendapati sebanyak 14 utas rantai dianggarkan bernilai RM65,000 telah hilang,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Beliau berkata, hasil siasatan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati, seorang suspek bertindak memasukkan sejumlah barang kemas ke dalam lengan baju dan poket seluarnya.
Tambahnya, kejadian berlaku semasa semua mereka sedang melihat rantai emas itu sambil seorang suspek mengajak pengadu berbual dipercayai bertujuan mengalih perhatian sebelum seorang daripada mereka mengambil barang kemas itu.
“Polis akan menganalisa rakaman CCTV untuk mengesan suspek yang kini sedang giat dijalankan dan saya juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi polis di talian 07-7784222,” katanya.
Mohd. Abduh memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE










