LONDON – Pelumba Red Bull, Max Verstappen mencabar juara dunia dari pasukan Mercedes, Lewis Hamilton untuk mengekalkan kejuaraan dunia Formula Satu (F1) musim ini.
Verstappen, 21, dilihat salah seorang daripada pencabar yang mampu memenangi kejuaraan dunia tahun ini, selain juara bertahan, Hamilton dan Sebastian Vettel dari pasukan Ferrari menjelang perlumbaan pertama Grand Prix (GP) Australia di Litar Albert Park, Melbourne minggu depan.
Pelumba dari Belanda itu mengakui tidak gembira kerana selama ini sering menjadi ‘mangsa’ perbandingan dengan Hamilton.
“Adakah Hamilton sudah bersedia untuk mencabar kejuaraan? Mungkin dia sendiri tidak fikir begitu tetapi dia bertuah kerana mempunyai jentera yang pantas.
“Kalau anda mempunyai jentera yang sangat bagus, anda tidak perlu memberikan prestasi 100 peratus dalam setiap pusingan kelayakan atau perlumbaan kerana kesilapan sendiri kebiasaannya kurang berlaku.
“Anda akan menjadi pemandu yang sangat bagus dan berbeza kerana tidak perlu mengambil banyak risiko apabila mempunyai jentera terbaik.
“Sekarang saya amat yakin dapat mencabar Hamilton atau Vettel tetapi saya mesti memiliki kelengkapan terbaik untuk melakukannya,” kata Verstappen.
Keyakinan tinggi Verstappen berdasarkan keputusan ujian pramusim menyaksikan Red Bull merupakan pasukan kedua terpantas di belakang Ferrari. – Agensi











